kisah halimah jongang

Assalamualaikum dan salam hormat.

Adalah sesuatu yang sangat menyakitkan hati apabila diejek dengan panggilan yang tidak enak berdasarkan kelebihan atau kekurangan yang kita miliki.  Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan fizikal di mana ia akan amat jelas dan senang kelihatan oleh mata kasar. 

Mungkin sudah adat manusia yang amat tertarik untuk melihat kekurangan selain kelebihan setiap perkara, lantas menjadikan ia satu bahan hiburan tanpa menyedari kesan dari perbuatan tersebut kepada individu yang terlibat.

Saya tertarik dengan isu kepada satu drama bersiri tempatan ketika ini iaitu 'Halimah Jongang - The Series' yang disiarkan di saluran televisyen berbayar negara.  Tajuknya amat ketara menunjukkan apakah plot drama yang akan disajikan kepada penonton yang berminat menonton siri tersebut. Saya rasa ini bukanlah kali pertama dalam arena filem atau drama di negara kita memaparkan realiti kehidupan golongan yang istimewa seperti itu.  Dan bukan kali pertama juga drama yang sebegini mendapat kritikan daripada pelbagai pihak lantaran ketidak prihatinan atau tidak sensitif kepada perasaan golongan yang terlibat.

Bukan Halimah sahaja yang pernah terlibat dalam isu ini.  Suatu ketika dahulu, ia juga pernah melanda Adik (Sutun), Fatimah ( Fatimah Juling), Fazira (Cinta Kolestrol), Manja (Manjalara), Forest (Run Forest Run - eh, ini bukan filem atau drama tempatan, dan ia tidak menimbulkan isu) dan banyak lagi. (kenapa tiba-tiba saya boleh menyenaraikan genre drama yang sekelompok dan tonasi saya seperti kolumnis akhbar gosip selepas menonton film preview? ;P )

Pada pandangan saya, tidak ada salahnya kita berikan kebebasan untuk pengarah atau penulis berkarya, asalkan tidak menyentuh isu-isu sensitif seperti keagamaan dan perkauman serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berwajib. Ia juga sama seperti penulis blog yang bebas menulis, mengkritik, memuji, menjatuhkan dan sebagainya untuk tatapan umum. Namun, jika ia dilakukan sehingga menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara - maka mereka juga tidak terlepas dari hukuman dan undang-undang. (sekarang sudah seperti menteri pula ;P)

Cuba kita lihat hasil karya itu dari sudut yang positif.  Ya, kecacatan fizikal yang dialami oleh Halimah itu memang tidak manis untuk dijadikan bahan ejekan - apatah lagi di kalangan masyarakat kita yang kaya dengan budi bahasa dan tatasusila.  Namun, apa yang cuba diketengahkan oleh penulis skrip dan pengarah drama tersebut adalah sifat mulia si gadis bernama Halimah itu sendiri.  Orang-orang disekelilingnya juga amat membantu dan melayan Halimah seperti orang lain.  Cuma yang menjengkelkan adalah ada di kalangan mereka yang mengejek dan merendahkan kekurangan Halimah.  Ini juga berlaku di dalam drama-drama yang saya sebutkan sebelum ini, yang agak klise memaparkan jalan cerita yang lebih kurang sama dengan Halimah Jongang.

Dalam isu ringan si Halimah ini, pelbagai pihak telah memberikan respon mereka sama ada positif  ataupun negatif.  Perkara ini amat senang dihidu dan dibangkitkan menjadi satu isu oleh pihak-pihak tertentu.  Sudah pasti media memainkan peranan yang utama dalam menyebarkan informasi kepada umum tidak kira dalam apa situasi sekalipun.  Ini juga yang terjadi dan di alami oleh mereka yang terlibat dalam drama Halimah Jongang ini.  Dari penerbit, pengarah, penyanyi, penulis lirik, pelakon dan mungkin soundman juga akan dikejar bagi mendapatkan komen dan pandangan mereka.  Begitulah pekanya masyarakat kita, pantang ada sahaja yang terlintas di fikiran, pasti tiba-tiba kita akan menjadi begitu kreatif untuk menghuraikan dan memanjangkan isi perkara tersebut hingga terciptalah satu makalah yang boleh dibukukan! (Wah, apa ni? Kutuk diri sendirikah kamu wahai Rafizah..? ;P )

Walau apa pun pandangan masyarakat tentang drama tersebut, saya tidak berganjak untuk mengikuti siarannya tiap minggu.  Pada saya, ia amat menghiburkan. Atau mungkin saya sudah muak menonton drama yang agak klise menyajikan kisah golongan elit yang pada saya tidak membantu untuk memberikan moral kepada penonton di negara kita.  Mungkin juga ia tidak terkesan dihati saya memandangkan isu yang dipaparkan tidak dekat di hati masyarakat kita (macam tagline saluran televisyen tempatan saja..,?) Memandangkan perhatian saya yang tidak kepada barisan pelakon utama dalam setiap drama atau filem yang saya tonton, (kecuali Batman) kerana saya lebih suka akan watak-watak sampingan atau pembantu; maka isu kutuk-mengutuk, sakit menyakitkan hati atau apa-apa jua berkenaan sesuatu itu, tidak memberikan kesan kepada saya.  Saya menonton kerana inginkan hiburan kerana itulah tujuan drama atau filem di adaptasikan ke layar putih.

Usahlah difikirkan sangat tentang kekurangan atau kelebihan orang lain..usahlah bercakap dan mengeluarkan kenyataan kononnya mewakili mereka yang terlibat.  Kita sebagai orang Melayu dan Islam sepatutnya sedar akan hikmah kejadian Allah pada setiap umat-Nya.  Tidak semestinya semua orang yang berfizikal menonjol itu akan berasa rendah diri dengan kelebihan atau kekurangan mereka.  Cuba dilihat dari sudut positif. Mereka juga ada kelebihan yang tersendiri.  Ini juga terjadi bukan hanya kerana kekurangan fizikal, malah ia juga terjadi kepada golongan yang kurang berada atau miskin harta-yang mana mereka akan dipandang rendah oleh kebanyakan masyarakat (tidak semua ya - tolong jangan saman saya ;P ).  Namun, apabila yang miskin itu menjadi kaya raya-dia akan disanjung pula.  Kita lupa akan perihal kemiskinan mereka atau kekurangan mereka sebelum ini.

Sepatutnya manusia yang dikurniakan sempurna kejadian berasa malu kerana insan-insan yang kekurangan ini mampu hidup dengan berjaya, sesetengahnya ada yang lebih berjaya dari yang kita sangka.  Kita juga harus sedar bahawa setiap ciptaan Allah itu ada kelebihannya dan seharusnya bersyukur kerana kita dikurniakan kesempurnaan.  Namun, haruslah kita ingat bahawa setiap apa yang berlaku adalah ujian Allah s.w.t kepada umat-Nya, yang menandakan Dia sayangkan kita. (kenapa saya seperti mahu menangis?). 

Oleh itu, selalulah berfikir dan menghayati kejadian dan perkara disekeliling kita kerana setiapnya adalah hikmah yang diturunkan oleh Allah untuk umat-Nya mengambil iktibar. (Eh, kenapa bil telefon saya tinggi bulan ini? Ya, ini harus saya fikirkan dan belajar dari pengajaran bil yang tinggi ini.. ;P)

Dengan ini, salam kasih sayang dari saya, (dan Halimah ;P )sehingga ketemu lagi (setelah lama tidak menulis..mungkin ini adalah salah satu punca bil telefon saya meningkat bulan ini?).

Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress