blog ini penuh kasih sayang dan rasa cinta

salam hormat dan salam sejahtera.


cuaca amat cerah dan gemilang pagi ini. walaupun tiada kedengaran burung-burung berkicauan, kokokan ayam jantan di tepi sawah, di sulam dengan suara emak berdendang - menyenaraikan tugas-tugas harian yang patut saya lakukan di rumah pada hari tersebut (oh, tidak!), namun saya amat gembira dan bersyukur kerana masih mampu bernafas dan dikurniakan kesihatan yang baik, Alhamdulillah...syukur kepada Allah.


saya amat bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga yang penuh kasih-sayang. seawal sedutan nafas pertama saya ke dunia ini, saya terus dilimpahi rahmat Allah dan kasih-sayang ayah dan emak. punya saudara-mara yang harmoni dan membahagiakan, punya rakan taulan yang sama berkongsi susah-senang...maka tiada alasan untuk saya tidak memberi dan menyulam kasih-sayang saya kepada mereka, atas balasan rasa kasih dan cinta mereka kepada saya selama ini.


mengapa saya merepek tentang kasih-sayang dan rasa cinta pula hari ini?


kasih-sayang dan cinta boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk dan cara, bergantung kepada siapa dan situasi di sekeliling kita.



cinta kita kepada Allah s.w.t merupakan cinta yang agung, digambarkan dengan bersyukur dan ditunjukkan dengan melakukan solat lima waktu, menjadi seorang insan yang baik dan berjuang ke jalan-Nya, menjadi seorang yang berbakti kepada agamanya dan sebagainya. Allah juga menunjukkan cinta-Nya kepada umat manusia dengan memberikan rezeki yang melimpah ruah, kesihatan tubuh badan, kesempurnaan akal dan fizikal, peluang untuk bernafas dengan umur yang berkat dan pelbagai lagi nikmat yang tidak kita sedari.

cinta saya yang kedua adalah kepada ayah, emak dan adik lelaki saya (yang selalu saya buli di masa kecilnya.. :P ) tiada apa yang mengubah rasa cinta saya kepada mereka ini. saya korbankan lebih sebahagian dari diri saya untuk mereka. merekalah yang amat saya sayangi. saya harap mereka juga menyayangi saya sepertimana saya sayangkan mereka. (mari mengira berapa banyak perkataan 'sayang' di dalam perenggan di atas)

cinta saya yang ketiga adalah kepada si dia yang sudi berkongsi perasaan (kadang-kadang perasan) bersama saya. (macam mana si dia berada dalam kedudukan no. 3?? mana saudara-maraku...?? huhuhu)..ya, harap semua faham. si dia mungkin akan jadi no. 2.5 selepas mengahwini saya..hehehe. mungkin yang lain akan menjadi no. 2.6, 2.7 dan seterusnya..

bukanlah niat saya untuk membuat anda bosan membaca coretan yang klise ini, tetapi motif saya adalah untuk berkongsi kasih-sayang saya bersama dengan anda. ramai orang telah mula menggunakan laman maya sebagai medium untuk mereka menyalurkan pelbagai maksud dan perkara tentang diri mereka atau kumpulan tertentu. contohnya, mungkin ada sesetengah orang menggunakan laman maya untuk mempromosikan diri sendiri (seperti saya - mempromosikan diri untuk mencari lebih ramai si dia dalam hidup ;P ), seperti golongan seni yang mewujudkan blog (sebagai profil kerja) supaya mendapat lebih banyak tugasan (punca rezeki) atau kumpulan-kumpulan tertentu yang mewujudkan blog sebagai sumber penyaluran maklumat tentang aktiviti-aktiviti mereka. ada juga yang menyalurkan maklumat yang tidak baik serta tulisan yang tidak sensitif dengan persekitaran, sehingga menyebabkan diri mereka terjebak dengan jenayah dan masalah. (ini harus dihindari)

akarnya tetap sama, cuma cara penyampaian dan penerimaan yang mungkin berbeza.

berbalik kepada tujuan asal saya tadi. kehadiran blog ini bertujuan untuk saya berkongsi kasih-sayang saya kepada semua di keliling saya. walaupun namanya agak kelihatan sadis, namun mempunyai maksud yang tersirat (bukan sinis-kerana ada yang beranggapan begitu terhadap luahan jari-jemariku yang kurus ini). cuba renungkan kenapa si kuali itu menangis. secara logiknya, ia menangis kerana memasak untuk si tukang masak menjamu keluarga, teman dan lain-lain (atau mungkin bakal mertua?) tidakkah itu sesuatu yang manis? mungkin ia boleh disamakan dengan 'umpama lilin membakar diri' iaitu pepatah Melayu lama yang menggambarkan pengorbanan yang bersungguh-sungguh hingga diri sendiri yang merana..(amat sedih)..

namun, saya amat berbesar hati untuk berkongsi kasih-sayang saya bersama anda..kerana saya merupakan seorang yang penuh dengan kasih-sayang..kerana saya yakin, dengan kasih-sayang yang saya ada ini, ia mampu untuk mendidik diri saya menyayangi diri sendiri, bersyukur dengan apa yang ada serta menerima persekitaran saya dengan positif. (kenapa? selama ini persekitaran saya negatif kah? :P) bergurau saja..sayang dari saya untuk anda.

sehingga itu, salam hormat dan Assalamualaikum w.b.t (macam tonasi penceramah agama bukan? heheheh)





Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Pohon Pine Cypress

Hello 2017!