cerita cita-cita

Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat.

pagi ini saya dikejutkan dengan dengan mimpi yang ngeri (betulkah ngeri?).

seekor panda yang agak besar dijumpai mati di dalam ruang kargo sebuah kapal terbang Boeing 747 yang baru mendarat di KLIA (bagaimana saya tau ia sebuah Boeing 747, sedangkan ia hanya di dalam mimpi? hmm..). apa yang membuatkan ia menjadi sangat sedih adalah kerana di tangan (atau kaki) kanannya terselit satu nota yang tertulis:


"andai aku tidak sempat tiba di taman KLCC, tolong semadikan aku di bawah salah satu rumpunan pohon buluh di sekitarnya. sekurang-kurangnya, cita-citaku untuk sampai ke sana telah tercapai.."


saya terus berfikir tentang mimpi saya itu dan cuba untuk mencari maksud yang tersirat di sebaliknya. adalah tidak mustahil untuk mendapat mimpi seperti itu kerana sebelum tidur pada malam sebelumnya-saya baru sahaja menonton filem rakaman di televisyen iaitu Kungfu Panda. jadi, saya berhenti berfikir kenapa saya bermimpi tentang si panda itu.


apa yang menarik tentang si panda di dalam garapan filem itu adalah kesungguhannya untuk merealisasikan cita-citanya. nyatanya, cita-cita yang tidak disertakan dengan usaha juga tidak akan tercapai (semua orang pun tahu, cik rafizah..) setiap insan yang normal pasti mempunyai cita-cita masing-masing. saya juga begitu. saya mengalami beberapa fasa dalam cita-cita saya - si panda itu juga mengalami fasa yang sama (adakah mahu disamakan saya dan si panda? :P ). fasa di mana kita tidak mahu dan hampir putus asa untuk mencapainya, terpaksa mengorbankan cita-cita demi sesuatu perkara, cita-cita yang tidak sesuai dengan diri dan keadaan dan sebagainya.


sekarang, mari saya bawa anda menghayati cerita cita-cita saya, bagi mendalami fasa yang saya maksudkan tersebut...


Cerita cita-cita 1

semasa di kelas TADIKA di kampung, guru yang mengajar pernah bertanyakan kepada saya - apakah cita-cita saya. (perkataan cita-cita amat janggal di telinga seorang kanak-kanak kampung berusia 5 tahun ketika itu). lalu, saya menurut sahaja cita-cita rakan lain. kebetulan, rakan yang berada berhampiran dengan saya itu merupakan seorang kanak-kanak lelaki-dan bercita-cita menjadi seorang polis. agak menjengkelkan kerana alasan yang saya berikan kepada guru tersebut ketika ditanya kenapa saya ingin menjadi polis - juga sama dengan rakan tersebut! tetapi, saya rasa cita-cita saya itu tercapai kerana tidak lama selepas itu, ketika kelas berhenti rehat - saya dikehendaki menjadi seorang polis di dalam permainan police and thief..tidak salah bukan? :P



Cerita cita-cita 2

sebagai seorang kanak-kanak yang dibesarkan di kampung yang agak terpencil dari perkembangan pesat Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh kerajaan memerintah (huh, lagak seorang wakil belia 4B pula..hehe), tiada apa yang lebih tinggi darjatnya melainkan keterampilan dan karisma seorang guru. tambahan pula, golongan kakitangan awam boleh dikira dengan jari dan guru merupakan golongan paling elit di kampung kami ketika itu. selainnya adalah jururawat desa @ bidan, kerani pejabat daerah dan kalau ada pun, askar berjawatan prebet. sebab itulah juga, saya menyimpan hasrat untuk menjadi pendidik (sebenarnya saya terpengaruh dengan gaya guru Bahasa Inggeris saya yang ala-ala bintang Bollywood-perasan hendak jadi sepertinya :P )


ya, sudah pasti cita-cita saya ini belum tercapai kerana usia saya baru 7 - 12 tahun-menjadikan ia contoh kepada fasa K.I.V. (sila letakkan dalam tray 1 ya..)



Cerita cita-cita 3

menjadi seorang pelajar yang kurang mendapat perhatian guru (dan abg2 senior pemain ragbi yg sasa..uhuk?) di sekolah kerana tidak berapa bijak (terkena kejutan budaya-satu tahap mempunyai 5-6 kelas berbanding di kampung yang hanya satu kelas untuk satu tahap), menjadikan saya antara remaja yang merangkak untuk ikhtiar hidup di sebuah komuniti yang besar. saya akui agak lemah dan lambat untuk menyesuaikan diri berdasarkan rasa rendah diri dan tidak yakin dengan diri sendiri.

syukurlah, saya didedahkan dengan disiplin yang tinggi ketika di sekolah menengah, dibantu pula dengan sokongan ayah dan emak serta saudara-mara-menjadikan saya seorang yang sedar akan kepentingan menjadi seorang yang berpendirian teguh dan mempunyai hala tuju dalam hidup.(dan baru saya sedar bahawa bukan senang untuk menjadi pendidik!). justeru, saya mengubah cita-cita dari menjadi seorang pendidik kepada seorang doktor. (seorang doktor??)


namun begitu, saya terpaksa berhempas-pulas untuk memastikan cita-cita saya itu tercapai. di alam persekolahan saya yang ceria - saya mula mempraktikkan etika seorang insan yang ingin menjadi seorang doktor dengan mencuri-curi masuk ke dewan makan dan 'meminjam' seekor ikan jaket untuk membuktikan bahawa semua ikan mati dalam keadaan tidak kesampaian hajat semasa hayatnya (anda fahamkah? :P ). membuat ujikaji berapa lama manusia boleh bertahan dengan kandungan oksigen yang terhad di dalam ruang sempit (sebenarnya, saya ponteng prep malam..bersembunyi dalam locker) dan membuat ujikaji punca seseorang itu dihinggapi konjunktivitis (untuk mendapatkan cuti sakit (sakit mata) selama seminggu).


maka dengan itu, justeru rekod akademik yang tidak cemerlang seperti rakan-rakan subahat (ya, subahat-bukan sahabat :p ), ia membuatkan cita-cita saya untuk menjadi doktor menjadi tidak kesampaian.(sila failkannya di dalam fail: Projek Gagal-sila berjumpa Ahli Lembaga Pengarah).


Cerita cita-cita 4


cita-cita saya yang ke empat ini adalah cita-cita yang terpendam. ia di ibaratkan begitu kerana ia lahir dari angan-angan.


saya adalah seorang yang sangat suka berangan-angan. ini terbukti apabila setelah tamat persekolahan, saya hanya menghabiskan masa (sementara menunggu keputusan SPM) dengan hanya membaca suratkhabar (mencari kerja kosong-persiapan jikalau keputusan SPM amat teruk..), menghafal lagu-lagu terkini di radio.. (cukup tidak berkembang..tetapi, jika saya menyertai pertandingan Pop Kuiz, pasti saya boleh menjadi juara!) dan juga menulis setiap perkara di hadapan mata di dalam Si Diari Hijau..

jadi, apa kaitan cita-cita saya dengan perkara di atas? ya, amat memalukan kerana saya dengan rasa bongkaknya menyatakan kepada ayah bahawa saya ingin menjadi seorang artis. (apa punya mengong). saya lihat ayah hanya tersenyum. (pasti di dalam hati ayah terdetik - oh, pasti anakku ini terlupa ingin mencerminkan dirinya ;P ) maka dengan itu, saya berusaha juga untuk merealisasikan impian saya yang agak mengarut itu. caranya agak halus - saya menghantar dua essei (bahasa melayu dan inggeris) kepada sebuah syarikat akhbar tersohor (wah!) di Malaysia, iaitu essei 'Mengapa saya ingin menjadi seorang wartawan'.

di dalam fikiran saya ketika itu, dengan menjadi seorang wartawan, saya berpeluang untuk mendekati ramai artis di Malaysia dan mungkin saya bernasib baik, bertemu dengan M.Nasir (boleh buat lagu untuk saya) ataupun U-Wei (boleh ambil saya sebagai pelakon). ironinya, pendekatan saya itu hampir berjaya kerana kurang dari seminggu-saya telah menerima satu telegram dari syarikat akhbar tersebut untuk menghadiri sessi temuduga sebagai seorang wartawan pelatih! wah..hati saya berbunga-bunga riang!

namun, hasrat saya untuk ke kuala lumpur bagi menghadiri temuduga tersebut dihalang oleh kedua orang tua..(sila ambil tisu untuk mengesat air mata..) kerisauan mereka untuk melepaskan saya ke tempat yang berlainan poskod telah mendesak ayah untuk mencari peluang pekerjaan yang berdekatan dengan area code 71500. ya, saya telah diterima sebagai guru sandaran di sebuah sekolah rendah di pekan berhampiran..(ya betul..cita-cita saya-yang di dalam tray K.I.V itu telah tercapai..) lalu, cita-cita saya untuk menjadi 'artis' terkubur jua akhirnya..(sudah semestinya ayah tersenyum girang bila saya mula mengajar di sekolah berkenaan...)

kisah cita-cita saya berakhir di sini....

apa??? mana mungkin? :o

(bukankah saya sudah katakan tadi..saya memang layak menjadi seorang artis..saya penuh dengan drama tahu..? ;P )

ya, memang benar. setelah meningkat dewasa, saya merasakan bahawa tidak perlu untuk terlalu obses bercita-cita. pada pandangan saya, simbolik kepada perkataan cita-cita itu sendiri - yang mana ia terkandung dalam silibus sistem pendidikan negara kita bagi mendidik anak-anak untuk fokus dalam menjalani kehidupan kini dan akan datang. ini dikukuhkan lagi dengan saranan guru kepada muridnya: "jika awak ingin menjadi doktor, awak kenalah belajar bersungguh-sungguh, faham?" (jelas bukan. guru itu juga ingin memenuhi KRA/KPI mereka - ke arah melahirkan pelajar cemerlang (yang bakal menjadi seorang doktor) setiap tahun ;P )

lihat sahaja fasa yang saya alami selama saya mula mengenal istilah cita-cita itu sendiri. ia mendidik saya untuk mengenal keupayaan diri sendiri serta usaha yang kita lakukan bagi mencapai matlamat tersebut. jalan kehidupan setiap insan seringkali berbeza. ada di antara kita yang bernasib baik, maka jalan kehidupannya berjalan dengan lancar dan memuaskan. namun, ada juga di antara kita juga yang melalui liku-liku hidup yang sukar dan mencabar. ada juga yang tidak menaruh harapan yang tinggi kepada cita-cita. hanya berpandukan kepada survivor hidup dan nasib. selebihnya, cita-cita hanyalah sebagai penanda aras. jika bernasib baik, akan tercapai. jika tidak, tidak mendatangkan apa-apa kesan yang besar.

kita juga harus sedar bahawa tidak semua yang kita inginkan akan menjadi kenyataan.(contohnya: saya teringin untuk berada dalam pesawat Air Force One selama seminggu, bolehkah? hehehe). mungkin sudah suratannya begitu. justeru, kita sebagai umat-Nya, harus menerima setiap ketentuan Allah setelah kita berusaha mencapainya. kita digalakkan berusaha tanpa jemu dan yakinlah bahawa Allah s.w.t menjanjikan ganjaran bagi umat-Nya yang berusaha ke arah kebaikan..(wah..ustazah. hehe).

apa yang nyata, saya telah melihat pelbagai contoh dikeliling yang menyokong kepada pandangan saya terhadap cita-cita. saya juga teruja untuk melihat lebih lagi di dalam konteks yang berbeza, selaras dengan peredaran masa. (huarrgh..sangat mengantuk posting kali ini...). persoalannya, adakah cita-cita impian saya telah tercapai setakat ini?

jawapannya sudah pasti tidak...dan saya tidak akan berhenti menanam cita-cita..sehingga ke hujung nyawa..

harap restu-Mu ya Allah...

sehingga itu, salam kasih sayang dan salam hormat.

Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Langkah Keberanian