hadiah kasih sayang

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Seorang sahabat bersungguh-sungguh mengaturkan pertemuan saya dengannya pada minggu lepas, setelah bertahun kami tidak bertemu. Berikutan jadual waktu saya yang padat, ditambah pula dengan janji saya dengan si dia untuk menaja makan tengahari beliau sepanjang Febuari ini - membuatkan saya semakin hampir tidak berpeluang untuk memperuntukkan sedikit masa untuk sahabat lama saya itu. Akhirnya, saya mengalah setelah beliau bersusah-payah datang ke pejabat dan membuatkan majikan saya terpukau dengan keanggunannya - saya mengalah jua dan berlakulah drama sebabak yang membuatkan saya menitiskan air mata kesyahduan mendengar kisah pilu yang melanda beliau. (ya, saya seorang yang keras hati dan garang..tetapi dalam hati ada taman, tahu? ;P )

Pertemuan kami itu berlangsung selama lebih kurang 3 jam di Starbuck Coffee (maaf boss.... ;P ) dan banyak yang saya pelajari daripada sahabat saya itu. Pengalaman hidupnya yang getir serta kepayahan beliau menyusuri suratan takdir itu juga membuatkan saya insaf dan berasa amat bersyukur dengan kurniaan-Nya. Namun, beliau tidak menyalahkan sesiapa ke atas apa yang berlaku, malah semakin kuat menjalani kehidupan seharian sebagai seorang wanita di zaman yang serba mencabar ini.

Saya pernah tidur sebantal dan makan sepinggan bersama beliau. Kami meniti zaman remaja bersama. Masih segar di minda saya setiap layar hidup ketika kami bersama-sama menuntut di universiti dahulu. Beliau masih seorang yang periang, suka berjenaka dan sangat aktif. Saya masih ingat, beliaulah rakan tempat kami mengadu ketika mengalami keadaan sukar. Beliau juga kami anggap seperti seorang kakak yang bertanggung jawab mengatur adik beradik yang lain. Beliau begitu tabah dan tidak menunjukkan kesusahannya kepada sesiapa pun. Namun, tidak ada siapa yang menduga beliau menyimpan lakaran cerita yang pahit untuk dikongsi bersama orang lain.

Biarpun perbualan kami tidak henti bersulam jenaka, namun sinar matanya tidak seperti dulu - bercahaya dan tersenyum tiap kali menyapa. Kini, walau bibirnya menguntumkan senyuman, ia tidak terpancar di matanya. Cuma yang kelihatan adalah kantung air mata ibarat sebuah empangan yang menanti pecah. Hati saya tertanya - "Ya Tuhan, apakah yang cuba Engkau tunjukkan kepadaku. Kiranya ini kehendak-Mu, aku sedia diuji. Sesungguhnya, aku adalah insan yang lemah." Situasi sebegini sering berlaku kepada diri saya. Maka, saya beranggapan baik bahawa Allah mahu menguji hamba-Nya yang lemah ini.


Seperti selalu, saya menjadi pendengar yang setia. Begitulah saya - teman taulan datang dengan pelbagai cerita sedih, pilu dan muram. Namun, ini kali pertama dari sahabat yang saya kira sangat tabah orangnya. Tidak setitik pun airmatanya menitis, tapi lain pula dengan saya (bukankah saya sudah katakan tadi - dalam hati saya ada taman..). Katanya, dia ingin menangis - tapi sudah tidak upaya lagi. Malah, dia sempat menyindir saya - "Sejak bila kau jadi cengeng ni fie..?". Tapi, jawapan saya tetap menjengkelkan - "Kadang-kadang aku ni lagi terel dari Fasha Sandha..tak sampai 10 saat air mata aku dah mencurah macam air terjun Niagara Fall.." ;P


Beralih kepada skrip drama radio...

N : (dengan suara sayu bersulam keriuhan di kaki lima kedai) ...Aku bukan nak minta simpati kau fie. Tapi aku harap kau boleh tolong aku. Tak dapat banyak, sikit pun jadilah fie.

F : (menghela nafas) Aku cuba tolong. Tapi, kau fahamlah keadaan aku macam mana. Aku tak boleh nak janji.

N : Tak apa, fie. Aku dah cukup bersyukur kau sudi juga jumpa aku hari ini. Aku memang perlu sangat pertolongan kau. Aku dah cuba cari orang lain, tapi tak berhasil...

F : Aku faham. Aku pun tak janji boleh beri komitmen penuh. Tapi, aku cuba ya?


N : Terima kasih fie.


F : Tak apa, N. Hari ini hari kau, esok lusa entah hari aku pula. Aku cuba setakat yang mampu. Anggaplah ini hadiah aku untuk kau. Hadiah kasih sayang aku untuk kau dan anak-anak.

(masih ingat akan lagu tema Drama Radio di Radio 1 RTM? ha, apa ditunggu lagi? mainkannya di fikiran anda sekarang...anda akan dapat rasa sentuhan dialog untuk skrip di atas dengan lebih berkesan...)

Apa yang berlaku hari itu serta pertemuan semula kami setelah bertahun menghilang tanpa khabar berita, membawa maksud yang sangat mendalam kepada diri saya. Suatu ketika dahulu, kami adalah sahabat yang akrab. Namun terpaksa berpisah kerana mengikut haluan masing-masing. Dengan izin Allah, kami bertemu semula dan meneruskan semula cerita kami dengan rentak yang berbeza. Namun, kerana jalan cerita yang pincang (mungkin kegagalan pengarah cerita yang lebih selesa memilih genre komedi seram sebagai sentuhan karya seninya..) kami berpisah kembali bersama perasaan yang tidak selesa dan penuh berbara (huh?).


Dengan izin dan kehendak-Nya jua, kami bertemu semula, lantas hujan yang dibawa itu berjaya memadamkan bara di hati saya. Biarpun berbekas, saya harus redha kerana setiap kejadian-Nya mempunyai hikmah tersendiri. Kita akan sentiasa diuji. Sesungguhnya, Allah itu Maha Adil. Justeru, jauh di sudut hati saya menginsafi diri. Dalam perasaan diri yang kekurangan dan tidak selengkap hidup insan disekeliling, masih ada ruang untuk Kau suburkan pohon rendang lalu membenarkan burung-burung tumpang berteduh sementara hujan reda. Setidak-tidaknya menjadi tempat persinggahan bagi mengeringkan sayap yang basah sebelum meneruskan perjalanan ke wilayah yang lain (hahaha..giler ah..).


Saya berharap perjalanan hidup rakan saya itu akan dilimpahi kejayaan. Sungguhpun hadiah yang diberikan tidak seberapa, namun saya berharap ia dilihat oleh Yang Maha Esa sebagai pemberian yang ikhlas. Biarlah ia membuahkan tuaian hasil yang amat manis untuk saya di akhirat kelak. Itulah hadiah yang amat saya nantikan selagi nafas dapat dihela, selagi roh masih di badan dan selagi tubuh pinjaman ini mampu berkhidmat untuk jalan-Mu Ya Rabbi. Terima kasih Ya Allah di atas 'hadiah' yang amat berharga ini. Terima kasih di atas kasih sayang-Mu.


Bersyukurlah di atas 'hadiah kasih sayang' dari Penciptamu...


Salam hormat penuh kasih sayang.






Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress