rahsia air tangan

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

"Walaupun mak goreng telur mata aje, tapi rasanya macam ayam belanda panggang yang diperap 24 jam dengan rempah ratus berkualiti untuk hari Thanksgiving la..pelik la.  Apa resepi mak pakai?"

Soalan saya dibalas dengan 'jelingan manja' emak.  Mungkin dalam hatinya berkata - Buang tebiat ke anak aku ni?.  "Alah, cakap je la malas masak.  Kenapa tak cakap air kosong mak tu rasa choco ice blended?" ;P  Ya, saya amat bersetuju dengan jawapan jujur emak. 

Benar, air tangan seorang ibu itu amat berkat.  Ini terbukti apabila kaki saya menjejak sahaja di laman rumah emak, tanpa menoleh kiri dan kanan; fokus utama saya adalah gobok (dalam erti kata lain - almari) makanan di dapur!  Saya tidak pernah muak dengan masakan emak dan ayah.  Walaupun yang terhidang di depan mata hanya ikan bilis goreng-saya tidak nafikan perasaannya memang umpama biawak mendapat sebakul telur ayam kampung. (wah, awas Encik Karam Singh Walia-anda sudah ada pencabar terdekat) ;P

Sejak dahulu, masakan emak adalah pilihan makanan saya yang paling utama.  Air tangan emak memang diperakui mempunyai sentuhan magis.  Arwah datuk juga memperakui perkara yang sama - itu kata ayah saya; yang juga tidak kurang hebatnya di dapur (ya, ayah sangat hebat dalam buat sepah di dapur ;P ).  Berlainan dengan anak dara ayah yang seorang itu (sila bayangkan wajah saya - kerana memang benar sayalah yang dimaksudkan itu : x ).  Saya tidak pandai memasak, sehinggakan air juga boleh hangus jika sayalah yang menjerangnya.  Namun, saya amat suka kepada makanan.  Adik saya pula suka mencipta resepi baru (sama seperti ayah) yang kadang kala hanya dia sahaja yang boleh menelan. ;P

Saya pernah berbual-bual dengan ayah tentang perkara ini ketika minum petang di kampung. Aktiviti minum petang sambil berbual kosong yang berisi adalah aktiviti yang paling saya sukai.  Ini kerana saya sangat suka mendengar ceramah ayah yang layak dikategorikan sebagai kuliah subuh/zuhur/asar/maghrib/isyak ini sejak dari kecil.  Ayah memang suka bercerita, jadi tidak hairanlah saya juga banyak mulut (eh, jari..sebab jari yang menaip dan menulis?  :P ).  Kata ayah, resepi masakan magis emak amat mudah didapati, tetapi amat sukar untuk mendapati.  Saya menggaru jari yang tidak gatal. Ya, untuk makan masakan emak amat mudah.  Hanya perlu balik ke kampung dan emak akan menyenaraikan masakan yang akan dimasak untuk hari tersebut.  Dan amat sukar pula untuk mendapati / mendapatkan masakan yang sama standard ISO-nya dengan masakan emak.  Ini kerana air tangan emak (emak saya dan emak orang lain juga )mempunyai sentuhan yang unik dan mengagumkan.

Tiap emak yang saya temui mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.  Contohnya, arwah Maklong yang amat pakar membuat kuih pau dan lepat tidak pekak (Al-Fatihah untuk arwah).  Tiap kali jika beliau membuat kuih tersebut, pasti akan kelihatan kakak sepupu datang dengan basikal BMX kuningnya dengan sebiji bekas yang berisi kuih.  Lalu, emak saya juga akan membalas bekalan itu dengan kuih cucur 'femes amat' emak yang rangup dan lemak manis itu.  Makcik Fatimah (ibu kawan baik saya) pula amat pandai memasak roti sardin.  Ada seorang makcik itu, (hahaha.. ;P ) pakar memasak ayam goreng kunyit - sangat menyelerakan.  Kawan baik saya yang berdarah pan asia pula sangat pandai merebus megi. (sungguh berjiwa Matahari Terbit Di Ufuk Timur). Dan ramai lagi ibu-ibu yang saya kenali di luar sana, mempunyai kepakaran masing-masing dalam masakan.

Hakikatnya, kata ayah - tiap apa yang dibuat dengan ikhlas dan penuh kasih sayang - pasti akan membuahkan hasil yang amat manis.  Emak tidak jemu-jemu mengingatkan saya untuk tidak lupa membaca kalimah Bismillah dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w setiap kali ingin memasak dan ketika memasak.  Selain dari itu, hati kena ikhlas dan ceria dalam melakukan tugas memasak. (ya, saya pernah memasak dalam keadaan hati yang membengkak - dan hasilnya: kari yang hangus).  Ironinya, jika kita gembira dan suka memasak untuk keluarga-secara tidak sengaja perut akan menjadi kenyang. Jadi, tidak perlulah terlalu obses untuk berdiet cara kejam - senang sahaja - petuanya, selalu masak! hehehe.  Saya juga yakin bahawa dengan memasak di rumah juga, kita akan yakin dengan tahap kebersihannya.  Tidak seperti jika di kedai m***k di mana pekerjanya belum tentu pandai membaca Bismillah dan belum tentu mereka menjaga kebersihan diri (lihatlah penampilan mereka - belum tentu mereka mandi jika badan sudah berlengas..erkkkk! apatah lagi jika ia beroperasi 24 jam!)

Jadi, untuk ibu-ibu diluar sana - jangan terlalu memaksa diri untuk memasak masakan yang canggih-canggih dan bertaraf 7 bintang.  Dan janganlah pula berasa dengki dengan resepi-resepi masakan chef terkemuka yang disiarkan di peti televisyen yang kelihatan amat menyelerakan dan sedap tahap dewa..(ahak!) Yakin dan percayalah bahawa sebenarnya masakan anda adalah yang terbaik walaupun ringkas seperti telur yang digoreng dadar, sambal colek tempoyak, ulam raja, ikan masin goreng, sambal tumbuk kulit rambai (waduhhhh), gulai umbut kelapa (arghhh..tidakkkk) - apatah lagi jika ia dimasak untuk dimakan bersama keluarga anda.  Saya juga percaya, dengan memasak dirumah juga kita akan dapat membantu menjimatkan belanja. 

Sehingga itu, salam hormat dan selamat memasak!



ini contoh masakan malas ;p



ini contoh masakan org lain ;p



ha..ini resepi warisan pusaka turun temurun



ini sangat menyelerakan, salah satu kegemaran saya

Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress