kisah saya dan adik

Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat.

Hati dan jari yang diikuti dengan pertimbangan akal, rasa terpanggil untuk merungkai kisah hidup saya bersama saudara kandung yang paling saya sayangi selamanya-adik saya yang bernama Muhammad Jan.  Kalau diikutkan rasa, tak mahu saya menghebahkan dan menulis tentang dia di dalam blog ini memandangkan dia seorang yang pemalu (hah?) dan tidak suka orang memperkatakan tentang dirinya. (Untuk perhatian, ini bukan cakap belakang tahu adik..ini tulis depan-depan ;P). Memandangkan hanya dia sahaja yang akan membaca tulisan ini, menambahkan lagi semangat dan keterujaan saya untuk menulis makalah yang panjang berjela tentang dia! ;P

Kalau tidak kerana adik, mungkin saya akan menjadi seorang anak tunggal (atau tunggul-yang apabila tersepak akan berdarah ibu jari ;P).  Kalau tidak kerana adik juga, tiada siapa yang boleh saya buli semasa kecil.. ;P.  Sudah lebih dua dekad saya membesar bersamanya.  Semua perkara dilakukan bersama-sama.  Hinggakan ayah menggelarkan kami sebagai 'kembar'.  Semua perkara mestilah serupa dan dibuat bersama.  Tidak boleh tidak, dua-dua mesti terlibat.  Jadi, tidak hairanlah jika saya yang nakal, adik juga akan merasa 'libasan rotan berpusing' emak.  Begitu juga sebaliknya.

Mengenali dan membesar bersama adik merupakan saat-saat yang harus dikenang hingga akhir hayat saya.  Terlalu banyak hirisan peria dan cawanan madu (sekali lagi-peria dan madu) yang berlaku di antara kami adik-beradik selama 32 tahun usia saya.  Saya meniti setiap perubahan yang berlaku pada diri adik sejak dari kecil lagi. 

Kami bukanlah datang dari golongan yang mewah dan berharta - jika wang ringgit menjadi ukuran segalanya.  Namun, kami membesar dengan kemewahan kasih sayang.  Mujur juga ayah dan emak mempunyai pandangan yang jauh dan kesedaran untuk menikmati kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak mereka di masa hadapan.  Saya memandang adik sebagai seorang yang agak pintar.  Lihat sahaja rekod pencapaiannya disekolah, baik rendah atau menengah.  Sedikit-sebanyak rekod pencapaian saya yang tidak seberapa itu mungkin menjadi faktor kecemerlangan dia dalam akademik.  Mungkin juga aktiviti-aktiviti membuli oleh saya itu menjadikan dia seorang yang tahan lasak dan kadang-kala agak menjengkelkan ;P.  Mungkin juga dengan tindakan saya membulinya itu menjadikan adik seorang yang mempunyai semangat yang cekal dan kemahiran ikhtiar hidup yang agak membanggakan. 

Bayangkan, bagi mengumpul wang poket untuk pulang ke kampung dari sekolah berasrama (dalam daerah yang sama, walaupun...) adik dengan selamba membancuh air oren sejuk (yang pastinya datang dari sumber yang meyakinkan - water cooler ditepi dewan makan) dan menjualnya dengan harga secawan 10sen, dari dorm ke dorm asrama lelaki ketika semua orang sedang hampir pitam kehausan ketika aktiviti riadah petang!  Saya juga tidak terfikir dia boleh buat seperti ini memandangkan dia dilihat sebagai seorang yang agak pasif oleh kawan-kawan saya ketika itu.  Patutlah dia asyik meminta emak membelikan kordial sirap atau sarsaparila (wah, glam sungguh nama sarsi.. ;P) untuknya walaupun baru satu minggu yang lepas emak sudah menunaikan permintaannya itu! :0

Secara peribadi, adik juga saya lihat sebagai seorang yang berani menyuarakan pendapatnya jika diperlukan.  Walaupun selalunya agak sinis, tetapi setiap perkataan yang dikeluarkan ada relevannya.  Dia juga tidak suka bermuka-muka.  Respon yang diberikan selalunya jujur dan tidak berselindung.  Contohnya, jika dia tidak suka akan sesuatu perkara, dia tidak akan melakukannya.  Ini pernah terjadi di sekolah rendah apabila seorang guru menegurnya kerana tidak memberikan perhatian ketika di dalam kelas.  Jawapan jujur oleh seorang kanak-kanak berumur 7 tahun dan mendapat didikan yang bertaraf AAA++ (seolah ingin menyamakan dengan gred barang tiruan dari China pula) oleh kedua ibu bapanya itu memberikan tamparan yang berat kepada pendidik itu - "Saya sudah bosan asyik baca A, B, C sahaja."

Tidak sampai beberapa jam, berita adik menjawab soalan guru itu terbias ke telinga ayah dan emak.  Saya tidak pasti apa yang berlaku selepas itu, (mungkin kerana berasa gembira kerana kali ini saya terlepas dari hukuman emak kerana perkara itu berlaku di sekolah-ya, saya sangat baik tidak terperi di dalam kawasan sekolah ;P) tetapi apa yang dikatakan oleh adik itu memang benar.  Tidak pasti siapa yang bertanggung jawab kerana Adik sudah boleh membaca seawal umur 5 tahun dan kita dapat rasakan betapa bosan dan tertekannya dia kerana terpaksa melalui pembelajaran yang sudahpun dikuasainya sepanjang tahun persekolahannya itu!.  (Kepada pihak yang bertanggung jawab merangka kurikulum persekolah di Malaysia, sila ambil perhatian ya ;P)

Berbeza dengan saya yang banyak mengalah dan mendengar kata orang yang lebih tua (kononnya.. ;P), Adik dilihat seorang yang yakin dan berpegang teguh pada pendiriannya serta sanggup mempertahankannya, tidak kira apa, di mana dan siapa (terutama guru ;P).  Bayangkan, kanak-kanak mana yang sanggup memulangkan semula duit raya kepada tuan rumah kerana kasihankan keadaannya yang miskin?  (Sila bayangkan wajah Adik yang comel-comel labu (ketika beliau kecil sahaja, ok?) berdiri di tepi tangga dan memulangkan semula duit raya kepada datuk itu. 

Adik juga seorang yang tabah.  Bayangkan juga ketika Adik terkial-kial mengejar saya dengan basikal beserta tangisan, dari belakang ketika saya sengaja meninggalkan dia ketika pulang dari sekolah. (Sangat kasihan-begitu ketara kenakalan saya ketika kecil bukan?).  Sebetulnya, saya memang suka buat Adik menangis ketika kanak-kanak (mungkin juga hingga sekarang? ;P ).  Namun, sedikit sebanyak pengalaman kami membesar bersama menjadikan kami lebih mengenali antara satu sama lain dengan baik.  Kami banyak menempuh suka-duka, susah-payah, tawa-canda (macam lirik lagu KD pula ;P) yang saya rasa amat mencabar ketabahan kami dalam menempuh alam dewasa.  Namun, saya percaya akan hikmah yang Allah s.w.t berikan kepada kami berdua itu amat menginsafkan.  Walaupun tidak semewah orang lain, kami tetap berasa bahagia dengan apa yang kami ada hari ini. 

Saya amat berharap dengan kehidupan baru yang akan Adik lalui selepas ini juga akan sentiasa bahagia dan saya juga akan selalu mendoakan yang terbaik untuknya.  Agak memilukan kerana terpaksa melepaskan saudara kandung dunia akhirat saya untuk memberi peluang dia menempuhi cabaran dan hidup baru-lebih memilukan kerana setelah 28 tahun saya melihat dia dewasa, kini dia akan menjadi tanggungjawab orang lain.. Sebenar-benarnya, Alang sayangkan Adik lebih dari segalanya.  Selalulah ingat pesan ayah dan emak.  Sentiasalah taat akan perintah Allah.  Tanggungjawab yang akan Adik pikul selepas ini lebih berat dan mencabar.  Adik yang akan mengembangkan layar dan mengemudi bahtera itu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.  Terpulang kepada Adik untuk belayar di haluan mana.  Berfikir dan bertindak dengan rasional jika tercabar oleh ribut dan laut yang bergelora.  Adik juga yang tentukan di mana pantai yang ingin berlabuh.  Namun, dengan harapan yang besar, Alang berharap akan jadi rumah api yang sentiasa ada sebagai panduan ketika daratan menjadi hala tuju.  Sebaik mana, seburuk mana-rumah api itu tetap berdiri di situ memberi panduan kepada pelayar jika langit tidak berbintang. (apa punya merepeklah...)

Pesan Alang - jadilah teman, kekasih, suami dan ayah yang baik kepada keluarga Adik nanti.  Yang paling utama, jadilah umat Allah yang paling taat sepanjang masa.  Adik tetap akan jadi kawan Alang sampai bila-bila.

Akhirnya, salam sayang dari Alang (yang tak pernah Adik panggil 'Kakak' - tolong jangan kerana ia sangat menggelikan ;P) dan salam hormat untuk semua! ;P

Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress