selamat hari guru -> edisi tren terlewat sbb sangkut kat area titiwangsa (agaknya)

Assalamualaikum w.b.t dan salam 1Malaysia. 

Dalam kesuraman cahaya lampu di opis (kerana terbakar sebab lama tidak tutup ;P ) tiba-tiba saya terkenang kepada zaman persekolahan saya dalam era 1980-an dahulu.  Ya, di mana zaman rock kapak sedang mula mengembangkan sayapnya - justeru kemunculan Kumpulan Wings bersama Awie yang tidak nampak ganas seperti sekarang ;P.  

Tulisan kali ini juga disokong dengan kesungguhan anak buah (Al-Ammar Harith) dengan aksi yang sangat comel (bersama giginya yang telah hilang sebatang akibat dicuri oleh tooth fairy ) bercerita tentang pasukan bolasepak guru sesi petang sekolahnya yang kalah dalam pertandingan menentang pasukan guru sesi pagi.

Saya mula mengenal sekolah alam persekolahan ketika seawal umur 5 tahun - ketika saya mula mengikut @ membontoti kakak sepupu saya (mummy Al-Ammar Harith) untuk ke sekolah.  Agak mengecewakan pada mulanya kerana saya enggan diterima kerana masih belum cukup umur.  (Alat mengukur kelayakan untuk bersekolah ketika itu adalah dengan meletakkan tangan kanan atau kiri, menerusi atas kepala untuk mencapai telinga di sebelah lagi satu.. (faham kah? ) Akhirnya, setelah berkali-kali mencuba, akhirnya ayah berjaya membuatkan guru TABIKA KEMAS ketika itu (Cikgu Rashidah) untuk menerima saya tahun tersebut.  
Tidak ada kenangan sangat bersama Cikgu Rashidah kerana saya sudah pandai membaca ketika itu ;P dan kurang memberi perhatian kepada pelajaran yang diajar melainkan sibuk melakukan aktiviti sosial dan melobi (sebagai persiapan untuk menjadi ketua kelas di sekolah kebangsaan nanti ;P ) bersama rakan sekelas yang tua setahun dari saya itu..(sila rujuk entry yang lepas-cerita cita-cita)  Namun begitu saya amat berterima kasih kepada Cikgu Rashidah kerana jika kalau bukan kerana dia, saya tidak merasa bersanding olok-olok dengan memakai baju songket merah hati dan gincu bibir merah menyala.... ;P 

Guru kelas Tahun Satu saya pada tahun 1985 adalah Cikgu Mohd Noor.  Beliau adalah seorang yang agak pasif.  Tidak aktif dan cergas (mungkin disebabkan oleh faktor umur) dan asyik sakit gigi sahaja. ;P  Beliau juga asyik mengerutkan keningnya, mungkin kerana giginya yang sakit itu.  Namun, dia adalah guru yang saya hormati kerana saya tidak mendatangkan masalah kepadanya serta tidak pernah marahkan saya. (mungkin juga dia mempunyai seorang anak lelaki sebaya saya yang tidak kurang paras rupanya! ;P ).  Dia juga yang melantik saya sebagai Ketua Kelas ketika itu (nampaknya, usaha keras melobi ketika di kelas TABIKA amat berjaya!) ;p

Guru Tahun Dua saya pula seorang yang berwajah bengis dan suka membawa rotan ke kelas iaitu Cikgu Abdul Manaf.  Saya akan selalu mengelak daripada bertembung dengannya di luar kelas kerana muka bengisnya itu.  Dia merupakan guru Matematik Tahap Satu di sekolah kami.  Jadi, tidak hairanlah saya tidak begitu menonjol dalam mata pelajaran itu.  Guru kesukaan saya ialah guru Tahun Tiga saya iaitu Cikgu Khatijah yang mengajar mata pelajaran Muzik.  Beliau sangat kreatif dan menjadi ispirasi saya dalam bidang perniagaan kecil-kecilan.  Beliau merupakan pembekal utama alatan persekolahan seperti pemadam, pensel, pengasah pensel dan sebagainya.  Di tahun itu jugalah saya mula berjinak-jinak menjual buah limau yang sangat manis hasil tanaman ayah dan emak dengan harga tiga biji 0.10 sen sahaja.  :(   kecewa kerana pokok limau itu sudah tiada.  Namun begitu, jarang sekali hasil jualan buah limau itu saya simpan kerana saya dengan rasa dan kesedaran untuk membantu rakan kelas yang lain, membelanjakan wang hasil jualan dengan membeli lukisan (yang entah apa-apa) yang telah diwarnakan (kononnya dengan cantik) dan membeli gelang tangan (yang dibuat dengan manik-manik liar ditepi tangkok ) dengan harga yang tidak munasabah.  Ini menjelaskan bagaimana tabiat saya, suka membeli barangan yang tidak munasabah juga hingga ke hari ini!  Bezanya, saya tidak diberi ganjaran libasan rotan berpusing emak seperti dulu, tetapi bebelan yang tidak kurang bisanya! ;p 

Di Tahun Empat, guru kelas saya ialah Cikgu Abas.  Beliau mengajar mata pelajaran Geografi.  Saya paling tidak suka mata pelajaran itu.  Dengan ketidak sukaan saya kepada mata pelajaran itu jugalah mengakibatkan saya terpaksa melepaskan takhta yang dipegang tiga tahun berturut-turut kepada orang lain.  :(  Namun, Tahun Lima merupakan tahun yang paling saya gemari kerana beranggapan tidak lama lagi saya akan mengakhiri zaman persekolahan rendah dan sudah mula menanam cita-cita untuk bersekolah di sekolah menengah yang ayah selalu gembar-gemburkan.  Guru kelasnya juga ketika itu iaitu guru Bahasa Inggeris, Cikgu Rokiah merupakan guru yang menjadikan saya sebagai anak emas (wah ;P) walaupun kegarangannya melampaui tahap yang sepatutnya.  Beliau adalah isteri kepada Cikgu Mohd Noor yang asyik sakit gigi itu. ;P.  Masih terbayang lagi kereta berwarna emasnya itu yang di parkir di jalan berbukit di bawah pohon ketapang sambil diletakkan batu bata di tayarnya bagi mengelakkan kereta bergerak ke bawah bukit... :)

Ketika di Tahun Enam,  saya telah mula sedar diri yang selama ini asyik bermain sahaja tanpa mengambil berat tentang pelajaran.  Walaupun pencapaian saya dalam pelajaran agak menurun, namun saya amat bernasib baik kerana berpeluang melayakkan diri ke sekolah yang ayah gembar-gemburkan selama ini.  Walaupun terpaksa bersaing dengan kawan-kawan sekelas yang tidak kurang hebatnya, (terutama dengan hadirnya pelajar dari 'kota' di Tahun Empat, yang kononnya lebih cemerlang dalam akademik itu ;p) namun saya cukup berbangga dengan diri sendiri kerana saya berjaya mengalahkannya di dalam peperiksaan UPSR!  Mungkin dia terlalu yakin dengan kebolehannya, mungkin juga dia terlalu leka dengan perhatian dan puji-pujian rakan sekelas yang lain kerana kepandaian dan kecantikan yand dimiliki (hahahahahah...melampau!) atau mungkin seperti alasan yang diberikan kepada saya setiap kali selesai menjawab kertas soalan peperiksaan - "Susah betul ya soalan peperiksaan kali ini!".  Dan ketika itu, semua perhatian termasuk guru kelas saya ketika itu-Cikgu Rashidah, mula berubah semula kepada saya! ;P < -- sangat poyo!

Semua itu sudah menjadi nostalgia kepada saya.  Saya berasa sangat bertuah kerana emak dan ayah mempunyai kesedaran dan cita-cita yang tinggi untuk melihat saya mendapat pendidikan yang sempurna dan berjaya.  Saya juga beruntung kerana dengan bimbingan insan-insan yang berjiwa murni ini sudi untuk membimbing saya.  Bukan mudah untuk menjadi pendidik.  Jika diberi peluang, saya yakin tidak akan dapat jadi semulia dan seikhlas guru-guru dan pensyarah-pensyarah saya yang saya hormati hingga kini.  Hanya doa dan perlindungan dari Allah s.w.t yang mampu saya pohon untuk mereka walau di mana mereka berada.  Walau sudah tidak bertemu lagi, saya berharap dengan ingatan dan doa untuk mereka ini akan berkekalan dan mekar hingga ke akhir hayat saya.

Sempena Hari Guru, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua guru-guru dan pendidik di seluruh Malaysia.  Moga Allah merahmati kalian!

Salam hormat!

Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress