fasa baru dalam kehidupan

Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat.

Pasar baru dalam kehidupan saya ialah Pasar Sungai Besi (eh, apa merepek?)

Selama 32 tahun hidup saya ini, pelbagai peringkat dan pengalaman telah dilalui.  Bermula dari saat dilahirkan hingga ke hari ini, saya berasa amat bersyukur kerana dikurniakan kesempurnaan fizikal dan mental serta menjalani hidup yang menyenangkan.
Saya pasti, semua manusia dan makhluk di muka bumi ini juga mempunyai lakaran lukisan kehidupan yang sama walaupun jalan cerita yang mungkin berbeza.
(Tuan-tuan dan puan-puan, sila pastikan anda berada dalam keadaan selesa dan memegang pen merah untuk menanda kesalahan tatabahasa ketika membaca karangan berbentuk biografi untuk Kertas Dua bagi matapelajaran Bahasa Melayu untuk Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2010).

Pada pandangan peribadi saya, fasa kehidupan yang bakal saya tempuhi tidak lama lagi adalah saya kira yang paling mencabar sekali.  Sejak dari awal perkenalan saya dan bakal suami, kami telah lalui pelbagai halangan dan rintangan dari pelbagai sudut dan aspek.  Tidak ada kemampuan untuk menangkis, namun masih berupaya untuk merempuh.  Sedar akan gelodak badai di sekeliling, kami masih bernasib baik punyai jemari yang tegar memaut juntaian akar yang tiba-tiba muncul melingkari lengan yang hampir hancur diresapi kemasinan air laut Selat Sunda (sila bayangkan ;p)

Gelodak badai yang kami harungi ini amat menduga kesabaran.  Namun, keupayaan dan kekuatan yang tinggal sekelumit ini jugalah yang kami pertahankan agar ia tidak lenyap terus dari pandangan atau hilang resap ketika ribut melanda.  Syukurlah, saya mampu berpaut pada reranting kasih sayangnya yang tidak jemu memaut tangan walau si dahan membidas keras.

Ini jalan yang kami pilih.  Ini pohon yang kami tanam dan bajai dengan benih kasih sayang yang luhur.  Kami menanam harapan agar pohon ini akan bercambah, berputik dan berbuah tidak kira musim.  Kami berhasrat agar pohon itu bercambah dan berkembang hingga memenuhi perbukitan lantas memberi teduhan pada unggas-unggas yang singgah berteduh.

Namun, apa yang kami harapkan cuma restu dan doa dari semua supaya kami dapat terus tabah dan yakin dengan jalan hidup yang kami rangka dan lakar ini.  Kami cuma berharap dapat bersama hingga ke akhir hayat walau apa juga jenis rintangan yang terpaksa diharungi kelak.  Setiap insan yang hidup punyai lukisan hidup yang berbeza, begitu juga kami yang tidak terkecuali.  Kami berharap agar dapat bersama dalam apa jua perkara di masa akan datang.  Kami cuma ingin bahagia bersama.

Lakaran ini penuh dengan kasih sayang.

Salam hormat.  Jumpa lagi.

Comments

  1. i just love reading your entry. It so sincere, you wrote what's inside your heart. Akak doakan kasih sayang itu mekar hingga ke akhir hayat. Hidup memang banyak dugaan. Perkara terbaik ialah dengan melaluinyer dengan sentiasa memohon petunjuk dari Allah SWT.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress