Merendah juga meninggi

Assalamualaikum w.b.t

Salam hormat dan salam sejahtera.

Pernyataan (atau 'kenyataan'?) di atas membuatkan saya terfikir akan kebenarannya (awal-awal lagi sudah menunjukkan Bahasa Jiwa Bangsa yang tunggang langgang ;p ).  Ini tiada kaitan dengan keadaan fizikal saya yang meninggi semasa kecil (berdiri paling belakang dalam barisan perhimpunan sekolah) dan merendah ketika ini (kerana anak-anak buah lebih tinggi dan besar dari saya ;p ).  Juga tiada kaitan dengan tangga gaji dan pendapatan saya ketika ini ;p .  Ia lebih kepada kesedaran diri tentang maksud yang tersurat dan tersirat dalam kenyataan tersebut (oh, bukan ter-sirap - rona wajah yg memerah seperti air sirap ais yang sangat sedap dinikmati ketika cuaca panas).  Ya, saya sangat sedar bahawa 70% daripada ayat di perenggan ini kelihatan berunsur 'macam- tak-mahu- berkata- dengan- serius'.

Apa yang ingin saya katakan dalam sessi penulisan kali ini adalah lebih kepada menyentuh tentang perkara yang selalu saya lakukan (mungkin juga orang lain) tanpa sedar.  Sebagai wanita yang dilahirkan Melayu dan kaya dengan adab sopan dan kesusilaan, kita di didik supaya sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dan peradaban yang tinggi. (Oh, paling tidak suka jika kata-kata kedengaran seperti permulaan pertandingan pidato sekolah menengah peringkat zon selatan ;p )  Tidak kira dari apa sudut sekalipun, penerapan nilai-nilai Timur itu sentiasa seiring dengan setiap hal terutama pertuturan dan tingkah laku.

Kita digalakkan untuk berkata-kata atau bertutur dengan baik, sopan dan berhemah.  Agama kita juga menyuruh umatnya untuk menjaga pertuturan, malah setiap agama yang ada di muka bumi ini menyeru penganut-penganutnya berperilaku baik termasuklah berhati-hati dalam berkata-kata.  Maka, ada pepatah menyebut bahawa, 'lidah lebih tajam dari mata pedang'.  Bila difikirkan semula, memang terserlah kebenarannya dalam pepatah yang dicipta itu.   Begitu halus sekali pandangan dan pemerhatian orang-orang lama sebelum menuturkan pepatah tersebut.  Nah, lihatlah betapa mereka benar-benar 'beralas' dalam berkata-kata.  Lengkap dengan maksud yang tersurat dan tersirat.  Berbeza dengan di zaman kita sekarang di mana kita bebas dan lantang menyuarakan sesuatu tanpa berfikir akan akibat dan perasaan orang disekeliling.

Namun, tidak semua kata-kata yang 'pedas' itu menghiris perasaan.  Ada kalanya, kata-kata yang sedap didengar juga akan disalah ertikan sebagai sesuatu yang menjengkelkan hati.  Maka, kata-kata yang awalnya menjemput pahala bertukar menjadi tetamu dosa (wah! ;p ).  Saya sedar jika tulisan saya ini mengundang rasa tidak senang di kalangan pembaca. (macamlah kamu penulis akhbar dan jurnal tersohor ;p )  Maklumlah, corak penulisan saya selalunya tajam walaupun tidak menggunakan lidah atau mata pedang.  Inilah yang merisaukan saya sebenarnya.

Jika diperhati dan dikaji sedalamnya, saya memang merupakan seorang yang banyak cakap (atau peramah ;p) dan senang mesra (kedengaran seperti perasan ;p).  Kata-kata yang saya luahkan selalunya lahir secara jujur walaupun adakalanya tidak disertakan dengan tapisan akal - dengan niat sebagai gurauan semata.  Namun, kadang-kala ada juga hati yang terguris.  Taakulan manusia lazimnya berbeda-beda (eh, kenapa kedengaran seperti naskhah penulisan dari Seberang, setelah menonton 12 episod sinetron Alisa?) dan sentiasa berubah-ubah.  Kadang-kala, kita memuji dengan menyatakan bahawa si dia amat cantik dengan solekan tebal dipadankan dengan persalinan merah menyala, tetapi disalah ertikan kononnya tidak pandai berhias dan memilih rona warna yang salah ketika ke pejabat! (memang tidak sesuai, bukan? ;p).  Juga apabila kita menjawab dengan santun ketika seseorang memuji akan keindahan mahligai 20 bilik dan 8 bilik air yang kita diami (hah?) - "Eh, tak adalah..rumah saya kecil sahaja jika nak dibandingkan dengan apartmen 3 bilik dan 2 bilik air Cik Markonah di Bukit Beruntung itu..".  Nampak ketara ciri-ciri 'merendah diri' yang cuba ditonjolkan itu, bukan? ;p  Lalu Cik Markonah menampakkan juihan bibir sepanjang dua depa, yang dicalit dengan gincu merah menyala itu ketika kita sedang asyik menyinsing lengan baju - dengan sengaja memperagakan gelang emas dan berlian yang bersusun hingga ke siku! (wah, ini sudah melampau ;p)

Situasi ini memang pernah berlaku kepada diri saya juga, di mana saya tidak menyedari akan kata-kata saya yang kelihatan seperti 'merendah' itu akan membuat orang lain terasa hati (tetapi, bukanlah saya yang memiliki mahligai 20 bilik dan emas separas siku itu! ;p).  Apatah lagi kata-kata saya yang bisa menghiris jiwa (erk) yang sengaja di ucapkan, yang pastinya akan lebih menyentap perasaan.  Keadaan seperti itu membuat saya agak takut untuk bersikap 'mesra alam' yang melebihi tahap kemampuan lagi. (tak faham? saya pun.. ;p)  Tambahan pula, saya telah menyedari akan kebenaran pepatah 'diam ubi berisi' dan simpulan bahasa 'tin kosong' yang diwariskan oleh orang-orang tua terdahulu.  Saya tidak mahu menjadi seperti tin kosong itu.  Juga tidak mahu menjadi seperti ubi itu-kerana saya meragui 'diam'nya yang kelihatan tidak munasabah itu. (bukankah baru sebentar tadi saya bersetuju dengan pepatah 'ubi' itu? ;p). 

Justeru, itulah yang saya maksudkan 'merendah juga meninggi' serta contoh-contoh kes yang tidak terdapat di dalam mana-mana makalah undang-undang di mana-mana negara.  Hanya sedikit contoh kerana saya tidak mahu dikatakan 'tin kosong' pula nanti. ;p.  Tambahan pula di bulan yang penuh rahmat ini, khuatir 'kurus' pahala berpuasa. (ampunkan saya Cik Markonah kerana menggunakan nama Cik di dalam penulisan ini).  Namun, saya berharap agar saya tidak akan terleka tentang perkara 'merendah juga meninggi' ini kerana saya pasti Tuhan akan sentiasa menguji umat-Nya tidak kira ketika mereka 'tinggi' atau 'rendah'.  Di dalam hati, sentiasa disematkan rasa insaf dan bersyukur dengan kurniaan-Nya dan berharap agar dapat dimanfaatkan setiap kejadian kerana saya yakin, setiap yang berlaku itu pasti tersemat seribu hikmah.

Oleh itu, sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, saya ingin menyusun jari memohon ampun dan maaf di atas segala ke khilafan saya sama ada sedar atau tidak disedari kepada anda semua.  Semoga Ramadhan ini membawa keberkatan kepada kita semua dan Syawal yang akan menjelang tiba ini menghadiahkan sejuta rahmat kepada anda semua.

Sehingga itu, selamat menjalani ibadah puasa dan selamat menyambut Aidilfitri yang akan menjelang tiba nanti!

Salam kasih sayang.

Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress