Saya cinta keamanan

Assalamualaikum w.b.t

Salam 1Malaysia. (wah, patriotik! ;p)

Saya tidak bersetuju dengan tajuk di atas (kenapa tiba-tiba sahaja?).  Tetapi, ia bukanlah bermaksud selama ini saya tidak cintakan keamanan (oohhh...).  Ia juga tidak bersangkut-paut dengan isu panas yang melanda negara kita sekarang.  Tidak juga menggangu-gugat semangat kemerdekaan negara kita yang telah 53 tahun bebas dari penjajahan fizikal British. Apatah lagi memporak-perandakan suasana keamanan yang dinikmati oleh majikan saya yang sedang tekun memuat-turun filem terbaru dalam format blue-ray itu (perlukah dinyatakan juga? ;p ).  Betul, tiada niat langsung untuk menulis tentang isu keamanan - sementelah ia kelihatan seperti tajuk karangan peperiksaan ujian kelayakan PTD yang jika boleh tidak mahu saya diduduki itu. (oh, minta maaf kepada Tuan-tuan PTD sekalian - anda memang hebat kerana telah lulus ujian itu! ;p ).

Dari sudut pandang seorang insan kerdil (yang bertubuh besar) ini, keamanan membawa maksud yang klise.  Bila disebut tentang aman - terus suasana negara yang bebas dari perang muncul di benak saya, seumpama sebiji mentol lampu 60 watt menerangi sebuah reban ayam di dalam ladang getah berukuran 3 hektar. (apa ni? - err..saya hanya ingin menggambarkan betapa gelapnya keadaan dan betapa bermaknanya sebiji mentol lampu 60 watt itu.. oh, begitu.. ;p ).

Saya cuba mencari maksud dan pengertian lain bagi keamanan dari sudut yang berbeza.  (kenapa secara tiba-tiba saya seperti terasa seolah-olah sedang membuat tugasan untuk Raja Lawak pula? ;p ).  Yang nyata, keamanan akan lebih terasa jika majikan tidak ada di pejabat setiap hari. ;p  Juga bertambah aman jika tidak ada tugasan yang dikejar oleh garis masa (date line).  Aman juga jika hanya saya seorang sahaja berada di pejabat, tidak perlu membuat kerja dan tugasan, tetapi dianugerahkan projek bernilai jutaan ringgit! (angan-angan Mat Jenin ;p )

Ketika zaman kanak-kanak saya, keamanan boleh diukur jika tiada suara leteran emak yang membingit menyuruh saya mandi dan berhenti bermain ketika hari beransur senja.  Juga mungkin keamanan tanpa kehadiran sepupu dari kota yang sering membuli dan mengejek kekurangan fizikal saya. (kenapa beremosi secara tiba-tiba? ;p )  Begitu juga dengan keamanan yang saya rasai ketika ketiadaan kakak-kakak senior yang garang ketika di asrama! ;p  Walaupun keamanan yang saya kecapi itu bersifat sementara, tetapi kepuasan dan perasaan yang tenang itu amat saya hargai.

Untuk mencapai keamanan adalah tertakluk kepada keadaan semasa.  Lebih tinggi kadar kesukarannya, maka lebih tinggilah nikmat keamanan yang dikecapi kelak.  Contoh paling dekat dengan kita adalah tentang usaha mencapai keamanan dan kemerdekaan oleh pemimpin-pemimpin zaman lampau.  Bermula dari era penjajahan Melaka, hinggalah terisytiharnya kemerdekaan Tanah Melayu.  Pelbagai halangan telah ditempuhi - pertempuran, pemberontakan, keganasan, kemusnahan harta benda dan jiwa, telah dilalui demi mencapai matlamat yang satu - KEAMANAN.

Kita juga patut berbangga kerana mempunyai tokoh-tokoh kemerdekaan yang hebat dalam memperjuangkan kedaulatan tanah air kita.  Kita juga seharusnya bersyukur kerana dilahirkan dalam suasana yang merdeka dan aman.  Kita tidak perlu bertempur senjata untuk mendapatkan kemerdekaan dan keamanan.  Kita tidak perlu bersusah-payah memberontak untuk memastikan suara tagihan keamanan kita didengar oleh semua pihak.  Juga tidak perlu mengorbankan harta dan jiwa demi mencapai matlamat itu. Kita juga tidak perlu gusar untuk lari serta mendapatkan perlindungan di bawah tanah kerana khuatir ditimpa bom dari kapal terbang tentera.  Tidak perlu menyorokkan bekalan makanan dari pihak musuh yang bermaharajalela menerjah masuk ke rumah tidak kira waktu siang atau malam. (Ya, benar.  Anda sedang membaca makalah sejarah sekarang ;p Terima kasih kepada ayah kerana menceritakan pengalamannya kepada saya.)

Kenyataannya, bukanlah cara mencapai keamanan itu yang saya utamakan, tetapi cara dan usaha untuk mengekalkan keamanan yang telah dicapai itu.  Seharusnya saya rasa bertuah kerana dilahirkan dalam suasana yang merdeka dari semua perkara.  Emak dapat melahirkan saya dengan selamat, dalam keadaan yang tenang, (walaupun saya sangat kerap menangis - jadi, mengganggu ketenangan hospital dan penghuninya ;p ) serta tidak perlu berhari-hari berjalan ke rumah bidan untuk memaklumkan bahawa emak hampir bersalin. (sila rujuk petikan filem 'Pontianak Harum Sundal Malam' - apabila Laila dan Sitam tiba lewat di rumah Meriam kerana menjemput mak bidan).  Jadi, dalam perkiraan saya adalah harus saya berusaha untuk mengekalkan keadaan aman dan merdeka ini supaya generasi selepas ini akan turut sama menikmati keadaan yang sama.  Amat mengharukan jika kedengaran suara-suara dan perkhabaran yang kurang enak seolah ingin mencalarkan keamanan dan ketenteraman yang kita kecapi selama lebih 50 tahun ini.  Suara yang saya kira agak kecil, kedengaran begitu nyata dan jelas dek kerana impak dari medium komunikasi yang dari hari ke hari semakin menguasai rentak hidup masyarakat di dunia.

Kalau di zaman dahulu, pemimpin-pemimpin pertahanan negara terpaksa mengembara berbulan-bulan lamanya bagi menjelajah ke seluruh pelusuk negeri bagi mengumpulkan rakyat jelata yang sanggup menyertai bala tentera untuk berkorban demi mempertahankan negeri.  Kemudian, mereka dilatih bertempur menggunakan senjata dan taktik-taktik peperangan yang strategik untuk mengalahkan musuh.  Justeru, bertempur bermati-matian dengan penuh lelah, berbekalkan senjata di tangan dan kudrat serta doa sebagai iringan.  Terpaksa menahan kesakitan akibat kecederaan akibat peperangan memandangkan tiada ubat penahan sakit serta pakar perubatan yang bertauliah untuk merawat.  (aduhai, kenapalah saya terpanggil untuk berbicara tentang topik ini? seolah terasa penat lelah serta keperitannya ;p )

Berbeza dengan era ini, kita tidak perlu bersusah-payah mengembara dengan berkuda serta membawa utusan raja yang tertulis di atas kulit kayu-hanya perlu menyuarakan pelawaan di laman-laman sesawang sosial, tidak sampai satu jam, maka berderet-deretlah pengikut kita bersama komen-komen yang juga membolehkan sesiapa yang membaca terpanggil untuk menyertai. (fuh, panjangnya ayat..letih ;p ).  Dengan teknologi itu juga, kita tidak perlu merasakan kesakitan tusukan pedang yang menghiris ( ;p ), hanya terkesan sedikit kepedihan dengan sentuhan kata-kata yang tidak meninggalkan kesan kesakitan yang lama.  Mungkin itulah yang dikatakan perjuangan, cuma masa dan keadaan yang membezakan. 

Namun, walau apa jua cara dan pendekatan perjuangan yang cuba dipertahankan-adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara keamanan yang sedang kita kecapi kini.  Bukan mudah untuk memperolehinya, inikan pula untuk mempertahankannya.  Kita harus peka dan bertindak dengan pantas justeru perubahan dalam pelbagai aspek kini semakin deras.  Jika lambat, kita akan ketinggalan.  Jika kita enggan, bermakna kita tidak akan dipelawa untuk kehadapan.  Justeru, sebagai seorang insan yang dilahirkan Islam dan Melayu, saya akan terus berjuang di tanah yang bertuah ini tidak kira dalam apa jua bentuk sekalipun.  Biarpun perjuangan itu hanya untuk diri sendiri.  Biarpun perjuangan itu tidak sebesar mana.  Biarlah erti perjuangan itu hanya diketahui oleh saya seorang.  Saya berharap agar setiap insan juga berperasaan sama seperti saya-kerana saya sangat sayangkan tanah air ini dan tidak rela ia dicemari oleh tumpahan darah atau percikan peluru senjata api buat sekian kalinya.  Tanah ini milik kita, maka kitalah yang wajib mempertahankannya.

Allahu Akbar!

Salam penuh takzim dan kasih sayang.


Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress