Ini hobi saya yang terlihat nyata - MAKAN

Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat.

Semua rakan taulan, saudara-mara serta orang yang melihat keadaan fizikal saya pasti sudah maklum apakah kecenderungan saya.  Ya, benar.  Kegilaan saya terhadap makanan.  Sebelum berumah tangga, kecenderungan saya ini kelihatan amat ketara.  Saya akan sentiasa memikirkan apa yang akan dijamah untuk makan tengahari walaupun selepas 5 minit menikmati sarapan pagi!  Saya juga kerap merancang aktiviti cuti dengan merangka destinasi makanan yang belum pernah dicuba.

Namun, ia berubah selepas hidup berumah tangga.  Tetapi, ia berubah menjadi semakin menggila apabila suami mempunyai hobi yang semakin menggalakkan saya untuk makan iaitu hobi memasak makanan yang teringin dimakan isteri!  Lihat, semakin mengujakan bukan? ;p

Namun, sayang sekali kerana kami bukanlah pakar memasak atau berkebolehan menulis buku resepi masakan.  Bahan-bahan masakan kami tidak mengikut sukatan yang standard.  Cara memasak kami mengikut keselesaan kami ketika di dapur (campak-mencampak membawa bahagia ;p ).  Namun, hanya satu yang kekal - kami tambahkan kasih-sayang ke dalam setiap hasil air tangan kami.  :)

Jadi, inilah hasil tautan jari-jemari kasih-sayang kami berdua!

Pulut Kuning @ Nasi Kuning & Rendang Ayam Kudat
Bahan-bahan dan cara memasak: sila rujuk bahan rujukan lain kerana saya terlupa bertanya suami apa dan bagaimana ia dimasak! ;p  Rendang ayam yang dimasak oleh suami juga amat berbeza caranya dari yang saya ketahui selama ini.  Walaupun tiada 'rupa', namun, ia menyelerakan. : )
* Bahan masakan tetap: Semangkuk kasih-sayang ; )


Mi Goreng Ala-Mamak

Ini adalah salah satu dari kecintaan saya.  Sejak saya kecil, mi goreng merupakan makanan kegemaran saya.  Malah, jika diletakkan ia disebelah Nasi Beriyani Gam Muar, saya tetap akan memilih mi goreng - walaupun ia kelihatan tidak menyelerakan langsung! <---  kenyataan yang amat mencurigakan! ;p
* Bahan masakan wajib ada: Secubit kasih-sayang bersama satu talam rasa LAPAR! ;p


Kari Ayam Kecundang

Jika dilihat pada keadaan ayam di dalam gambar di atas, kita mungkin menjangkakan bahawa ia merasa bahagia kerana dimasak dengan cemerlang.  Dan mungkin juga rasanya boleh dikategorikan sebagai 'boleh tahan'.  Namun, saya tidak berpuas hati dengan hasil karya kali ini kerana tidak menggunakan rempah yang sepatutnya.  Jadi, dalam hati berbisik: "Menyesal sungguh tidak menggunakan rempah kari Cap Ayam yang Emak dan Ayah selalu gunakan". (Ya, memang benar.  Saya menyalahkan rempah yang tidak sesuai di atas kegagalan saya mendapatkan hasil masakan mengikut piawaian ISO Emak dan Ayah. ;p
*Bahan penting: perahan kasih-sayang


Masak Cili Api Ketam & Nenas


Saya tidak suka ketam.  Ya, memang benar.  Kerana saya merasa 'mabuk estrogen' ketika tersedut kuah yang berada di dalam 'tangannya' itu.  Lantas, ia membuatkan kepala merasa sengal dan mata berpinar.  Saya memasak resepi ini kerana orang-orang tersayang.  Biarlah saya ambil nenasnya sahaja! ;p
*Bahan penting: secawan kasih-sayang


Nasi Goreng Nyonya

Melihat kepada kualiti gambarnya juga kita sudah sedia maklum - ia di ambil oleh jurugambar profesional (iaitu adik saya)! ;p Walaupun dia profesional - saya tetap menghidangkan sesuatu yang tidak profesional kepadanya! (Nasi goreng kosong sahaja?????) ;p
*Bahan wajib macam biasa: Sehiris kasih sayang


Saya kira, cukup setakat ini sahaja memandangkan tidak semua masakan sempat dirakamkan gambarnya (kerana ia terus dimakan sejurus ia dihidangkan ;p ).  Mungkin dalam penulisan akan datang saya akan cuba memaparkan resepi yang diajar oleh suami.  Berhenti berharap ia berasaskan santan dan cili api kerana resepi tersebut berasal dari benua yang lain dari negeri kelahiran saya!

Hingga ketemu lagi!

Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Langkah Keberanian