Saya ada projek baru

Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat.

Perancangan untuk projek di atas telah dicadangkan sejak tahun 2008 lagi.  Kertas cadangannya juga telah berhabuk dan menunggu masa untuk dimakan hari.  Kegagalan saya untuk melaksanakan projek itu adalah kerana faktor-faktor klise  yang biasa diberi hampir setiap individu apabila ditanya mengapa.  Jadi, tidak perlulah saya menjelaskan dengan lebih panjang berjela di sini. ;p

Kita mulakan dengan sedikit rentetan sejarah projek ini.  Asasnya, Emak telah menyatakan hasratnya itu sejak saya dibangku sekolah menengah lagi.  Namun, saya kerap-kali tidak mengendahkannya kerana terpengaruh dengan kata-kata Ayah di mana jari saya hanya digunakan untuk menaip dan kerja-kerja ringan sahaja. (dasar mengada-ada) ;p  Maka, harapan Emak itu hanya tinggal kenangan.  Sebenarnya, di samping kebolehan memasak makanan yang enak-enak belaka, Emak sangat pandai dalam kerja-kerja tangan yang lazimnya dilakukan oleh wanita-wanita Melayu terakhir di kampung.  Emak sangat berharap saya akan ringan mulut dan tangan untuk bertanya kepadanya serta minta di ajar tentang kebolehannya itu.  Namun, melihatkan kecenderungan saya serta minat saya yang lebih kepada pen dan kertas, serta genre muzik yang tidak menggunakan alatan seperti gendang, gamelan dan seruling bambu - membuatkan Emak meminggirkan sahaja hasrat murninya itu. : (

Harapan Emak yang saya maksudkan itu adalah seni mengait/seni kait benang.  Alas meja, alas televisyen, baju panas, stokin dan pelbagai lagi barangan di rumah adalah hasil dari kesungguhan dan minat Emak terhadap sebatang jarum besar sepanjang sejengkal jari itu.  Jadi, sekarang adalah masanya untuk saya belajar dengan Emak tentang cara untuk mengait!  Amat teruja kerana tidak sabar untuk melahirkan hasil karya dari benang itu!  Tidak pasti sama ada Emak sudi atau tidak untuk mengajar saya kerana hasrat murni ini masih belum dilafazkan secara formal lagi.  Namun, saya akan bersedia untuk membeli segala keperluan untuk mengait sebelum memberitahu Emak akan khabar gembira ini! ;p  Berikut adalah perkara yang harus saya buat sebelum berguru dengan Emak:

1. Cari maklumat barangan jahitan/kait
Setelah memerah otak yang sejak kebelakangan ini tidak digunakan dengan mencabar, saya berkesempatan untuk melayari laman sesawang serta blog yang sesuai bagi melaksanakan misi saya itu.  Maklum sahajalah, sejak kebelakangan ini juga saya amat berdisiplin (dibantu oleh motivator yang amat tegas tapi berhati bunga-bunga) untuk menghadkan aktiviti 'berjalan-sambil-meningkatkan-jualan-petrol' di stesen-stesen minyak dan menghabiskan masa terluang di rumah sahaja. <-- ia amat mendukacitakan kerana saya tidak dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan pesat : (
Eh, mengarut lagi! ;p Baiklah,untuk memulakan hasrat berbunga ini, saya telah mengunjungi kedai buku berhampiran tempat kediaman dan mencari bahan bacaan yang sesuai serta mendapatkan panduan tentang jahitan dan sulaman.  Dua buah buku panduan yang lengkap untuk memulakan projek jarum dan benang telah dibeli beberapa tahun lepas dan hanya memerlukan informasi tentang seni sulam dan kait.  Terdapat banyak hasil tulisan berkaitan dengan seni sulaman dan jahitan yang didapati di toko buku tersebut, namun amat menyedihkan kerana saya agak sukar untuk memahami dengan baik tentang cara-caranya.  Jadi, masa selama 2 jam di toko buku itu dihabiskan dengan melihat gambar-gambar cantik produk sulaman yang dihasilkan oleh pengarang!
Selain dari itu, saya juga telah menjadi pengikut kepada beberapa blog berkaitan kerja menyulam dan menjahit yang saya kira akan memberi ide dan inspirasi kepada saya.  Juga telah merujuk kepada video-video tentang seni sulaman dengan harapan berbunga untuk memulakan projek tersebut.




2. Melahirkan hasrat untuk berguru dengan Emak Suami
Oh, sungguh tidak kusangka hasrat murni saya telah disambut baik oleh Emak!  Tapi, agak mengecewakan kerana Emak sudah lupa untuk mengait : (  Tetapi, ada sesuatu yang mengujakan juga kerana Encik Suami pula yang tahu mengait! (kenapa tidak disedari dari awal?) ;p




3. Membeli peralatan menjahit dan menyulam/mengait
Melihat kepada paras kacak Si Mesin Jahit di rumah membuatkan saya semakin teruja untuk memulakan operasi.  Di samping dorongan dan 'paksaan' dari Encik Suami, saya gagahi jua meredah dari kedai ke kedai, pekan ke pekan, bandar ke bandar untuk mencari peralatan yang sesuai dan memadai dengan bajet saya yang agak 'nipis'. ;p  (tiba-tiba sahaja saya teringat kepada drama "Miah Oh Miah" - seorang gadis naif yang sangat obses menjahit).  Pada saya, bajet untuk kain tidak menjadi masalah memandangkan bekalan kain yang tidak perlu dibeli kerana stok baju-baju lama adalah mengalahkan dari stok di gudang pakaian borong!   Kini saya hanya perlu membongkar 3 buah almari baju tersebut dan mulakan operasi seterusnya! (oh, kenapalah ia kedengaran amat mengujakan?)


4. Mulakan bersengkang mata!
Ya, kedengaran amat menyiksakan.  Saya sememangnya suka kepada keganasan dan pembulian berkala.  Sedari kecil memang amat berkebolehan dalam bidang buli-membuli ;p dan sekarang tibalah masa untuk membuli diri sendiri demi mencapai matlamat kewanitaan sejagat!

Sila ucapkan "Selamat Berjaya" kepada saya yang berjiwa kental berbunga-bunga ini! ;p 


Hingga ini, salam hormat dan ketemu lagi!

Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress