Duhai Haya, Aduhai Adik

Assalamualaikum w.b.t dan salam lebaran.


Ramadhan berlalu tanpa saya sedari kehadirannya.  Syawal menjelma tanpa saya rasai kemeriahannya.

Namun, saya mensyukuri nikmat Allah s.w.t Yang Maha Pengasih kerana telah menganugerahkan kami suami isteri dengan permata hati dan harta paling berharga sekali - Dayang Nur Hayatullikhamaidani, puteri sulung yang selamat dilahirkan pada 7 Ramadhan 1432 yang lalu.

Allah Maha Agung lagi Maha Mengetahui. 

Kegembiraan menyambut kelahiran orang baru dalam keluarga kecil kami disusuli dengan kepiluan kemalangan yang melanda adinda yang saya kasihi-Muhmmad Jan yang telah kembali ke Rahmatullah tanggal 20 September 2011, genap tempoh berpantang saya.  Menderita sakit Myelitis-seperti yang diterangkan oleh doktor-doktor yang merawat arwah selama di Hospital Kuala Lumpur. 

Tiada apa yang mampu saya coretkan di sini melainkan doa yang berpanjangan dan berterusan serta redha dengan ketentuan-Nya.  Sedar akan dunia yang bersifat sementara.  Faham dengan janji-janji Allah kepada hamba-Nya.  Redha dengan segala ujian dari-Nya.

Duhai Haya,
Ibu dan Ayah akan selalu menyayangi dan mengasihi kamu hingga ke akhir hayat kami berdua.  Kami doakan dengan kehadiran kamu di dunia ini akan menyerikan keluarga kita.  Ibu, Ayah, Atuk dan Uwe akan selalu sayangkan kamu.  Kehadiran kamu memberi sejuta rahmat kepada kami.  Tersembunyi hikmah Allah Yang Maha Agung dengan kehadiran kamu dalam hidup kami.  Kamu adalah amanah Allah buat kami.  Jika Pak Jan masih bersama kita, Ibu yakin-dia juga akan sayangkan kamu.  Ibu akan selalu ingatkan dan beritahu kamu kisah Ibu dan Pak Jan.  Biar dia sentiasa 'hidup' dalam diri kita.  Kamu jadilah orang yang baik kerana Ibu, Ayah, Atuk dan Uwe akan berusaha mendidik kamu dengan baik.  InsyaAllah, dengan izin Allah s.w.t, Ibu berharap agar doa ini akan diperkenankan-Nya.

Aduhai Adik,
Terlalu cepat Adik pergi.  Namun, Alang redha dengan ketentuan-Nya.  Tidak tertanggung beban di dada menahan air mata dari jatuh berderai kerana Alang tidak mahu Adik derita olehnya.  Walau Alang tidak bersama Adik selama hari-hari terakhir Adik, Alang sentiasa doakan kesejahteraan Adik dan Alang sentiasa ingat kata-kata Ayah semasa kita kecil dahulu, "Beralah dengan Adik.  Kamu dah besar dan dah puas dengan semuanya.  Beri peluang pada Adik pula."  Justeru, Alang beri peluang kepada orang lain untuk menumpahkan sayangnya pada Adik.  Alang sudah lama bersama Adik selama ini.  Selama 29 tahun kita kongsi suka-duka bersama, tiada satu pun yang terpadam dari ingatan Alang.  Akan Alang kenang selamanya selagi hayat di badan.  Adik saudara kandung yang baik dan Alang berterima kasih serta bersyukur kepada Allah s.w.t kerana telah dikurniakan seorang insan yang bergelar Adik dalam hidup Alang.  Kini, Alang sendiri lagi.  Bersemadilah dengan tenang ya Adik.  Doa kami bertiga sentiasa mekar dibibir. 

Semoga Allah merahmati kedua insan ini.

Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress