Perasaan saya tentang pemanduan berhemah

Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat.

Sudah 10 tahun saya boleh memandu.  10 tahun juga saya menghabiskan separuh dari hari-hari saya berada di atas jalan raya, memandu.  Selama tempoh itu jugalah saya 'berjaya' mengumpul sembilan saman ekor (akibat memandu laju), satu saman menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan dua saman akibat kesalahan meletakkan kereta di tempat yang tidak sepatutnya. (tentunya bukan di atas bumbung, di dalam parit atau di atas meja makan restoran!)

Kerjaya saya yang banyak melibatkan kerja-kerja menghantar dokumen tender itulah yang patut dipersalahkan maka berlakunya pemanduan melebihi had kelajuan yang sepatutnya. (Untuk makluman, saya hanya memandu sebiji Kancil 850cc-tetapi ia berjiwa Ferrari!) :p  Penggunaan telefon semasa memandu pula, nyata tiada sesiapa yang patut dipersalahkan kerana sepatutnya saya mempunyai pilihan untuk tidak menjawab panggilan dari seorang sahabat yang ingin mengajak makan tengahari bersama, sedangkan ketika itu kenderaan peronda lebuhraya berada betul-betul berada di belakang 'Ferrari' saya! (Atau mungkin saya patut salahkan artis kegemaran saya yang kebetulan lagu hitnya diputarkan dicorong radio ketika itu? - ya, ia menyebabkan saya leka dan tidak sedar akan kehadiran Si Baju Putih itu!)

Tetapi, ini bukanlah kisah yang ingin saya tuliskan di sini. 

Pandangan saya tentang sikap pemandu di Malaysia, atau mungkin lebih tepat lagi - pemandu tempatan di daerah saya ini.  Sikap pemanduan sekarang berbeza sekali dengan dahulu.  Kalau 10 tahun dahulu, hanya terdapat sebuah sahaja pusat latihan memandu di daerah ini, tetapi sekarang mungkin lebih dari sepuluh.  Kalau dahulu, menurut rakan yang pernah belajar memandu di sana - belajar memandu dengan pusat latihan memandu tersebut, hanya melayakkan kita memperolehi lesen memandu yang sah, tetapi tidak ada keberanian untuk memandu di jalanraya!  Apatah lagi kaum Hawa, memanglah sukar untuk kelihatan mereka memandu di jalanraya terbuka.

Tetapi, hari ini saya lihat dan kagum dengan keberanian kaum Hawa memandu di jalanraya.  Saya sendiri telah mengalami dan melihat sendiri semangat itu yang seolah-olah rekod saman-saman saya yang berjela itu sebenarnya tidak menggambarkan saya seorang pemandu yang tidak berhemah, malah mungkin boleh dianggap sebagai seorang pemandu yang sopan-santun berbudi-bahasa berdedikasi dan bersemangat wanita Melayu terakhir di jalanraya! (Huh, fahamkah?) :p  Selama saya memandu, saya tidak berani berbuat demikian:

1.  Memotong di garisan berkembar, ditambah lagi ketika kereta dari arah bertentangan berada dalam keadaan tidak selamat untuk memotong.

2.  Menekan pedal minyak dengan kuat ketika lampu isyarat bertukar hijau hingga mengakibatkan kereta meluncur sangat laju. (Mungkin menganggap kenderaan di sebelah ingin berlumba ala-ala aksi dalam filem KL Drift).  Walhal sebelum ini tidaklah selaju mana pun.

3.  Memandu sambil telefon di tangan, memotong di garisan berkembar dalam kelajuan maksima.

4.  Apabila kenderaan lain memotongnya yang dalam keadaan perlahan, tiba-tiba meningkatkan kelajuan kenderaan dan memotong kenderaan tersebut semula! (Ketara sangat seolah-olah marah dengan orang yang memotong itu, bukan?) 

Perkara di atas dilakukan oleh pemandu wanita, ya-pemandu WANITA.  Mungkin banyak lagi perlakuan yang tidak sempat saya tuliskan di sini.  Tetapi ini amat menggelikan hati saya.  Daerah saya ini telah banyak berubah rupanya.  Bukan setakat landskapnya yang yang bertukar, gaya dan cara penduduknya juga telah berubah.  Itu hanya berlaku dalam sedekad, siapa tahu bagaimana pula keadaannya sedekad dari sekarang? 

Mungkin dua dekad dari sekarang si Haya sudah berani memandu di jalanraya terbuka dan si Israq berebut memegang stering kereta ketika kenderaan bergerak 110km/jam!  Mungkin, siapa tahu?  (Minta dijauhkannnnnnnnnn..!)

Lihatlah rekod kesalahan jalanraya Ibunya, bukankah majoriti saman kesalahan memandu dengan laju? :p :p

Sekian dan salam hormat!

Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress