Pulang dari pertapaan
Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat.
Bismillahirrahmani-rahim..
Kucar-kacir.
Sawang labah-labah yang telah bertahun ditinggalkan semakin menebal dan amat sukar untuk dihapuskan.
Permulaan bicara yang tidak semanis selalu akibat keserabutan minda dan jari menggeledah butang-butang dan paparan di skrin yang asyik berubah-ubah lantaran meninggalkan "rumah " ini dalam jangka masa yang lama.
Begitulah keadaannya jika meninggalkan sesuatu dengan kadar yang lama dan tidak pula rajin untuk mengemas apatah lagi menghias. Bukan setakat labah-labah, kelihatan juga kelibat ular sawa yang kekenyangan menelan puluhan, mungkin ratusan ekor tikus sepanjang pertapaan.
Oh, galau. (Tajuk lagukah ini?) Tidak tahu mana hendak dimulakan.
Baiklah, mulakan dengan bicara klise seorang ibu kepada sepasang anak yang masih kecil - haruslah berkisar tentang mereka.
Si Bijak Haya - Semakin bijak dari hari ke hari. Tahun hadapan akan di hantar ke Taska. Sebagai pelajaran kepada aktiviti bersosial dengan sihat. Ada masa terluang, Ibu bawa ke Perpustakaan Desa untuk berjinak dengan bahan bacaan. Pasaraya G***t sudah menjadi lokasi lawatan wajib (adakah berdosa jika tidak berpeluang untuk pergi? ) untuk beriadah kerana ketiadaan kawasan permainan di kejiranan kami. Kerana kesukaran untuk membawa kedua-dua mereka secara serentak, Ibu telah tukarkan kepada aktiviti berjalan-jalan di sekitar kampung sama ada dengan berjalan kaki, menaiki motosikal atau dengan kereta. Agak sihat kerana tidak ada pencemaran berskala besar dan selamat. Sudah pandai mengikut irama lagu dari filem kesukaannya - Shrek, walaupun tidak tahu menyebutnya. (Hanya disebut: "Ibu, nak Aa-aa") dan tegar mengatakan si Donkey sebagai Kambing.
Si Tampan Israq - Sudah mula bertatih, agak lewat berbanding Haya. Namun sudah nampak kebijaksanaannya. Sudah tahu minta dibawa bersiar selepas tidur siang. Sudah tahu minta dibawa ke kedai apabila Atuk siap berbedak talkum. Sudah tidak mahu minum susu formula. Sudah kurang berat badan kerana sudah mula lasak. Bersujud jika disebut perkataan "Allahu Akbar" dan menggelengkan kepala mengikut gerakan 'beratib' (macam inikah?) ketika Atuk dan Uwik berzikir ketika solat Maghrib. Juga sudah mempunyai iklan kegemaran seperti Jom Heboh, Strepsil, dan juga Boboiboy.
Masih hijau di ingatan saya ketika saat melahirkan mereka.
Melihat mereka membesar di hadapan mata adalah anugerah Allah yang paling besar buat saya. Nikmat yang amat sukar untuk digambarkan. Ia juga membuatkan saya sedar akan diri yang sentiasa di uji dan menguatkan tekad untuk menjadi lebih baik di masa yang akan datang, InsyaAllah dengan izin-Nya.
Sebagai ibu, saya hanya mampu berusaha untuk sediakan yang terbaik untuk mereka dan berdoa semoga Allah s.w.t merahmati mereka dunia dan akhirat.
Sebagai ibu yang melahirkan mereka juga, saya sudah ampunkan dosa-dosa mereka dari saat lahir ke dunia hingga selamanya. Redha saya, restu saya akan mengiringi mereka dunia akhirat.
Oh, saya amat tidak suka jika tulisan saya berubah-ubah warna tonasi di dalam satu post. Amat memalukan jika dilihat objek sekeliling.
Justeru, mohon pergi sebelum 'kolam' itu tumpah dan buat suasana menjadi mendung...
Sekian, salam hormat.
Comments
Post a Comment