Ujian dan Rahmat Allah s.w.t Tidak Bertepi

Assalamualaikum w.b.t

Salam hormat.

Sejak negara dikejutkan dengan berita kehilangan pesawat MAS-MH370, hati saya terbetik dengan pelbagai rasa yang tidak dapat digambarkan dengan perkataan.  Namun begitu, hanya ketakutan yang bertakung di dada.

Sebagai seorang ibu, saya terbayangkan ketakutan seorang anak kecil yang berada dalam penerbangan tersebut.  Sebagai seorang anak, saya dapat rasakan ketakutan seorang ibu, mengenangkan anak yang belum puas dibelai.  Sebagai seorang kakak, saya dapat rasakan ketakutan akan kehilangan darah daging dan orang yang paling rapat.  Sebagai seorang isteri, saya terbayangkan ketakutan dan betapa inginkan suami ada di sisi ketika itu.  Sebagai seorang Islam, saya terbayangkan ketakutan akan bala Allah s.w.t yang diturunkan untuk menyedarkan diri.

Dalam ketaksuban kita bergantung kepada kecanggihan teknologi, adakalanya kita terlupa akan ada kuasa yang lebih agung untuk kita bergantung iaitu kuasa ALLAH S.W.T Yang Maha Memiliki, Maha Mengetahui.

Saban hari kita berdepan dengan pelbagai masalah, halangan, tidak kurang dengan kegembiraan, di anugerahkan rezeki yang melimpah ruah, kenikmatan hidup yang berpanjangan, kemewahan dari pelbagai segi dan pelbagai lagi.  Dalam menempuh hari-hari cerah dan kelam, kita diasuh untuk terus mengingati-Nya serta berserah kepada-Nya tidak kira dalam apa jua keadaan-sukar mahupun suka.  Tetapi, benarkah kita 'benar-benar' mengingati-Nya?

Saya bertanya kepada diri saya, sukarkah untuk kita sentiasa mengingati Allah?  Pertanyaan ini sering saya ajukan kepada diri sendiri-sebagai salah satu cara untuk lebih memahami diri-kerana pesan Ayah; kenal diri dahulu, barulah kenal Allah.

Setiap saat itu amat mudah untuk kita mengingati-Nya.  Walau kadang-kala kita tidak pernah peduli dan leka dengan hal-hal dunia.  Mengingati dan beribadah kepada Allah bukan hanya dengan bersolat dan menunaikan segala suruhan-Nya, tetapi setiap perbuatan yang kita lakukan haruslah sentiasa ingat dan bergantung kepada-Nya.

Contohnya, membaca dengan seikhlas hati kalimah Bismillahirrahmanirrahim setiap kali ingin melakukan sesuatu dalam kehidupan seharian.  Alhamdulillah, dengan berbekalkan kalimah ini jugalah saya mulakan setiap pekerjaan saya setiap hari.  Bagi saya yang cetek ilmu agama ini, kebergantungan saya dengan kalimah mulia ini amatlah tinggi.  Saya bukan seorang yang fasih berbahasa Syurga, bukan juga seorang yang menghabiskan sepertiga malam di tikar sembahyang, saya hanyalah seorang insan yang hanya mampu menyakinkan diri tentang ke-Esa-an Allah s.w.t dengan bergantung dengan yakin dan istiqamah dengan kalimah-Nya.

Dengan kalimah ini jugalah saya berharap setiap ketika supaya diperkenankan segala urusan setiap hari.
Dengan kalimah ini jugalah saya bergantung harapan agar dijaga keselamatan diri dan orang-orang tersayang disekeliling saya.
Dengan kalimah ini jugalah saya mendapat ketenangan dalam setiap keraguan dan halangan.

Kalimah keramat ini sentiasa menjaga saya dalam semua keadaan.  Cukuplah ia sebagai bekalan doa yang paling mustajab pada setiap saat dan perbuatan saya seharian; dikala tugas dunia membebani bahu.

Doa itu senjata orang Mukmin..


Sekian.




Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Langkah Keberanian