Ragam Anak-Anak (Adegan Si Kakak) Shoot 15, Scene 121-Pujuklah Aku Ibu

Assalamualaikum w.b.t

Salam sejahtera.

Lama saya tidak menjenguk ke sini lantaran bebanan kerja yang agak melimpah dan kesibukan menguruskan anak-anak yang semakin membesar. (Kenapa begitu klise..?) :p

Biasalah, rutin seorang wanita bekerja dan surirumah serta ibu kepada anak-anak yang tengah melasak. (Klise lagi!) :p

Hari ini Si Kakak meragam lagi.  Anak dara seorang ini tidak seperti Ibunya sewaktu kecil-suka ke sekolah sehingga Ayah terpaksa merayu guru Tabika bertugas di kampung untuk mengambil saya sebagai anak murid.  Merayu, ok?

Dari bangun pagi, harus dipujuk dengan elok agar 'mood' nya tidak melayang.  Geletek sana sini, umpan dengan baju yang akan dipakai untuk ke sekolah hari ini..
Terus di bawa untuk mandi (air sejuk dari kolah jumbo Uwik, semestinya)..pujuk lagi dengan mengatakan bahawa mandi air sejuk itu ialah antibiotik. (Sila abaikan air panas yang dijerang Uwik untuknya-sila simpan untuk Si Adik-bukan bermakna Ibu malas, ok) :p
Sesudah mandi, hendak dipakaikan baju uniform sekolahnya..

"Ibu, kakak nak pakai baju cantik.."
Mengeluh.  Simpan baju merah dan biar dia pilih dari laci.
Dapat.  Tiada masalah untuk menyarungkan ke badan sendiri, tetapi..

"Ibu, kakak tak nak pakai seluar.."
Apa?  Nak biar kakak seksi begitu ke sekolah?
Oh, nyawa..

Pukul 7.45 pagi.  Ibu sudah tidak mahu memujuk lagi.  Ibu sendiri belum bersiap, anakku.
Uwik ambil alih tugas memujuk.
Negatif-masih berdegil.

Ok, mungkin kakak lapar.  Uwik suap mi goreng air tangan Atuk. (Ibu masak tidak sedap.  Ya, bohong semata.  Ibu tidak sempat untuk masak, Ibu bangun pukul 6.30 pagi.)

Makan dengan malas. (Boleh begitu?)
Ok kakak.  Bawa seluar ke sekolah.  Nanti Teacher boleh tolong pakaikan.  Menurut perintah, berjaya.

Berjalan berlenggang kangkung di tepi perigi untuk ke kereta sambil menyanyi-nyanyi.
"Ibu, kakak nak lagu gummy bear"
Bertenang-pagi ini agak sukar untuk liputan internet bergerak dengan kelajuan cahaya.  Separuh jalan barulah muncul tiga orang budak memakai topi beruang di kepala.
Senyap hingga ke sekolah.

Masih memegang gajet di tangan hingga sampai di depan pintu sekolah. (Dan tentunya tidak memakai seluar-hanya baju singkat separas lutut)
Seluar bertukar tangan.  Teacher Mira ambil sambil memanggil Dayang.

Merengus. (Siapa ajar anak saya berbuat begini?) (Berfikir sejenak sambil memandang diri sendiri) :p
"Ibu, kakak tak nak pakai seluar..panas.."  Meraung lagi. Oh, panas rupanya.  Baiklah, Ibu hanya akan belikan gaun sahaja selepas ini.

Hmm...
Macam biasa, satu lembah boleh kedengaran raungan Si Dayang.  
Tugas memujuk di ambil alih pula oleh Teacher Rozi.  Entah pukul berapa ia reda.  Ibu harus mengentalkan hati untuk meninggalkan Dayang dalam latihan suara tahap 3 itu-atau Ibu berdepan tindakan disiplin di tempat kerja.

Ya, Ibu akan pujuk Encik Bos pula dan berjanji untuk menghadiahkan syarikat projek juta-juta tahun depan. 
Hahahaha..

Sekian dimaklumkan.  Ketemu lagi.







Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress