Ganjaran

Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat.


Minggu dan bulan ini adalah minggu dapat keputusan peperiksaan dan masuk ke mana-mana sekolah dan institusi berprestasi tinggi.
Bulan ini jugalah ramai di antara yang cemerlang diberi ganjaran atas usaha dan penat lelah - seumpama memenangi peperangan setelah berhabis tenaga bertempur dan berjuang.
Sebahagian besarnya oleh Ibu dan Ayah masing-masing yang nyata amat berbesar hati dengan pencapaian anak-anak mereka.

Dahulu dan sekarang.
Semuanya mengalami perkembangan dan pembaharuan dalam ganjaran kecemerlangan.
Mana-mana juga sama-hadiah.
Namun, apa yang membezakannya adalah zaman.

Zaman Ayah:
Ketika Ayah mendapat tempat pertama di sekolah rendah (tahun 40-an), beliau di hadiahkan dengan wang sebanyak 30sen-yang boleh diumpamakan ketika itu, sebanyak RM500 pada ketika dan zaman ini.
Kegembiraan?  Haruslah berganda-ganda, kerana dengan wang sebanyak itu Ayah mampu membeli pelbagai makanan ringan (jajan) yang mahal-mahal pada zaman itu seperti cendol, sotong ketuk dan aiskrim.  Adakalanya, Ayah akan makan rojak yang berharga 15sen ketika itu!
Di zaman Ayah, setiap kejayaan akan dihadiahkan 30sen untuk hadiah pertama, 20sen untuk hadiah kedua dan 10sen untuk hadiah ketiga.

Zaman Saya:
Sewaktu saya memperoleh keputusan UPSR, saya tidak pernah terlintas untuk mendapat hadiah dari Ayah atau Emak.  Namun, saya telahpun diperkenalkan dengan konsep mendapat ganjaran kecemerlangan ini sejak dari Darjah Satu-ketika mendapat Nombor Satu di dalam kelas.  Hadiahnya adalah sebuah basikal BMX yang sangat 'in' ketika itu.  Dihadiahkan oleh Andah, berwarna biru.
Untuk hadiah kejayaan dalam UPSR pula ialah kenduri kesyukuran, dihadiri oleh orang-orang kampung, tumbang seekor kambing dan tentunya, wang yang diberi oleh mereka yang datang!...bersama: pakej untuk menghantar ke sekolah berasrama berkenaan. :)

Zaman Sekarang:
Saya kira, zaman ini adalah zaman kemewahan.  Boleh dikatakan apa sahaja yang di idamkan, mudah diperolehi.  Meminta untuk hadiah juga kedengaran amat mudah.  Kadang-kadang, tidak perlu untuk apa ganjaran itu, hanya perlu meminta sahaja-dengan mudahnya akan ditunaikan.
Contoh yang paling dekat, anak saya.
Apa sahaja yang terhidang di kaca televisyen akan di minta Ibu untuk membeli.
Kalau dikhabarkan tidak mahu untuk menurut-alamatnya gegak-gempita satu rumah.
Tetapi, Alhamdulillah..anak saya itu hanya tahu meminta dan menjerit ketika itu sahaja.  Selebihnya, dia akan lupa dan puas hati jika saya menjawab akan membelikan barang itu sebanyak satu dozen! (Masih belum tahu apa makna sedozen itu!) :)

Zaman Anak Cucu Saya Nanti:
Moga Allah kabulkan hajat saya untuk melihat dan mengalami tempoh masa tersebut.  Insya-Allah.

Salam hormat.  Moga ketemu lagi.




Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress