Asrama Oh Asmara (Eh?)
Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat.
Saya dan
arwah Adik menghabiskan sebahagian masa remaja di asrama. Di sekolah menengah dan universiti.
Kali ini
saya ingin mengupas dan membelah-belah, seterusnya memakan-makan semua kenangan
semasa di asrama dahulu. (Banyak tahun
giler ni, tahu..) lol
Sejujurnya,
saya tidak tahu pun apa itu asrama serta kehidupan di asrama sehinggalah saya
di terima masuk ke Sekolah Tuanku Jaafar/Sekolah Menengah (Sains) Tuanku Jaafar
di Kuala Pilah.
Keterujaan
itu memang sudah lama bersarang dalam hati kerana setiap kali peperiksaan di
sekolah rendah, Ayah akan mengingatkan saya tentang kehebatan sekolah gomen (atau sekolah kerajaan/government). Tambahan pula, kebanyakan daripada sepupu,
saudara-mara saya, termasuklah beberapa orang di kampung kami merupakan pelajar
atau bekas pelajar sekolah tersebut.
Cuba
bayangkan betapa hebatnya sekolah itu sehinggakan saya tidak mahu menerima
tawaran dari mana-mana sekolah melainkan sekolah itu!
Cuba
juga bayangkan, betapa ‘skru tercabutnya’ kepala saya jika saya tidak mendapat
tawaran dari sekolah itu dan tidak akan bersekolah menengah pun. Sampai bila-bila!
Teruk,
bukan?
Mujurlah
dengan keputusan UPSR yang tidak berapa nak bagus itu, saya akhirnya didatangi
tawaran untuk melanjutkan persekolahan saya di sekolah terbabit.
(Mesti
ada yang menjangka saya menggunakan ‘kabel’ yang sebesar tali sauh kapal kargo
di Pelabuhan Port Klang, bukan?)
Tidak. Ayah saya tidak pandai untuk memanjat tangga
Kementerian Pelajaran mahupun kenal dengan mana-mana ahli politik atau menteri
ketika itu.
Mungkin
sudah rezeki saya, serta doa Emak dan Ayah selama ini; mungkin juga kerana
kelayakan kuota sekolah luar bandar, atau mungkin juga kerana Ujian Pengesanan
yang saya duduki itu mendapat markah yang tinggi (blueerrkk..) Maka ia telah melayakkan saya masuk ke
sekolah tersebut. Bila difikirkan
semula-semuanya berkaitan rapat. (Jangan
lupa, Allah Maha Mendengar, tahu.)
Maka
bermulalah perjalanan hidup saya di asrama dengan rasa bangga yang amat. Mana tidaknya. Tumbang jualah seekor kambing dan entah
berapa ekor ayam untuk dijadikan juadah kenduri kesyukuran. Belum ditambah lagi dengan pesanan dan
nasihat yang jika dizahirkan di atas kertas-mau berkajang-kajang kertas akan
terlibat, justeru menambahkan lagi bilangan pokok yang akan ditebang oleh
kerana ingin menzahirkan nasihat-nasihat kepada saya. (hahaha)
Namun,
realitinya bukan seindah yang saya gambarkan di awal semester persekolahan di
situ. (Jeng, jeng, jeng..)
Saya
tidak mendedahkan kepada sesiapa pun kecuali pada mereka yang terlibat secara
langsung dengan peristiwa dan perkara yang berlaku di asrama, lebih-lebih lagi
di dormitory saya. (Seram tak?)
Saya
mungkin bernasib baik kerana dapat belajar di sekolah tersebut, tetapi saya
telah mengalami satu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan melalui
perkataan.
Di sana,
saya tidak bernasib baik kerana terpaksa tinggal bersama kakak-kakak senior
yang teramat garang. Tidak semua, tetapi
segelintir yang mempunyai tingkah yang tidak boleh di amalkan sebagai seorang
senior. Mereka baik, tetapi tingkah
sebegitu tidak sesuai di praktikkan kepada junior atau freshie seperti kami ketika itu.
Saya
tidak akan mengulas lanjut tentang apa yang berlaku dan dilakukan oleh mereka
kepada saya kerana ia tidak melibatkan fizikal-tetapi lebih kepada mental torture-yang mana secara tidak
langsung, memberi kesan jangka pendek juga jangka panjang kepada saya.
Tiada
siapa yang saya ceritakan kisah ini, sehinggalah saya telah diberi kaunseling
oleh warden asrama kerana tidak bercakap dengan sesiapa pun di
dormitori-melainkan rakan sebaya ketika itu (dia telah pun meninggal dunia
bulan lepas, Al-Fatihah). Kalaupun
bercakap, saya hanya berbisik atau bercakap dengan perlahan sekali. Saya juga tidak betah tinggal di dormitori
jika ada masa terluang seperti hujung minggu.
Saya akan bangun seawal 4 pagi, mandi dan duduk di Musolla sehingga usai
solat Subuh. Saya juga akan berada di
bangunan akademik (kelas) dari pagi hingga petang dan hanya akan balik ketika
semua penghuni asrama sedang sibuk untuk mandi dan solat Maghrib. Itu semua berlaku kerana saya berasa sangat
tidak selesa berada di asrama.
Menyedihkan, bukan?
Natijahnya,
saya tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Sedikitpun tidak.
Setiap
kali peperiksaan semesta, keputusan yang akan saya perolehi adalah tempat
ketiga. Ya, tempat ketiga-dari
bawah. Baik di dalam kelas, mahupun
dalam keseluruhan. Amat memilukan.
Oleh
kerana rekod yang amat teruk itu, Ayah terpaksa menggunakan khidmat kakak
sepupu saya untuk menasihati saya ketika itu.
Maka, kakak sepupu pun mengutus surat di utus kepada saya di asrama
(sudah tentunya surat itu sudah dibuka oleh warden-untuk tujuan tapisan).
Ketika
itu, saya seolah mula tersedar dan mula mencari apakah tujuan saya bersekolah
di situ.
Saya
mula belajar semula-sudah tentunya sukar kerana sudah tiba semester terakhir
untuk tahun pertama tersebut. Saya mula
mencari kawan yang sesuai dan serasi untuk belajar bersama. Mulanya agak sukar kerana emosi saya masih
belum pulih sepenuhnya. Saya masih
dihantui dengan memori-memori lama yang memilukan. Memang sukar, kerana setiap hari saya masih
akan bersua dan bertembung dengan mereka yang terlibat dengan kekacauan-emosi
saya itu. (hadoi..bila nak abis
ni..). Namun, akhirnya saya berjaya
pulih-walaupun di tahun kedua (kerana senior tersebut sudah tiada-tamat
persekolahan selepas SPM).
Mempunyai
pengalaman buruk menjadi junior di
situ membuatkan saya tidak mahu melakukannya kepada orang lain. Saya cuba untuk menahan diri daripada berbuat
demikian walaupun kadang-kadang saya ‘berbulu’ dengan sikap segelintir freshie yang adakalanya menjengkelkan.
Tetapi,
saya tidak dapat bertahan kerana akhirnya di tahun akhir, saya menjadi seorang senior yang garang! Ada rakan sebaya akan menggunakan khidmat
saya untuk ‘berteriak’ kepada freshie
mereka yang agak ‘bega’ dan tidak mahu dilentur. Tetapi, tidaklah sampai menjejaskan emosi
mereka seperti yang saya alami dahulu.
Marah-marah sayang. Junior yang saya herdik itu juga
cemerlang dalam pelajaran.
Bukan
niat saya untuk mengungkit kisah ini (manalah tahu ada pembaca yang
tersinggung, saya mohon maaf). Saya
hanya mahu berkongsi kisah supaya di masa hadapan, anak-anak saya boleh membaca
tulisan saya ini dan mengambil iktibar dari kisah hidup Ibunya.
Jauh di sudut
hati, saya inginkan anak-anak saya cemerlang dunia dan akhirat. Justeru, asasnya perlulah kukuh. Saya mahu mereka mendapat pendidikan yang
terbaik. Saya mahu mereka diterima
bersekolah dan mendapat pendidikan di tempat yang bagus. Saya mahu membentuk masa depan yang indah
untuk mereka. Saya mahu dijemput dengan tenang
kerana tanggungjawab saya sebagai Ibu telah dilaksanakan dengan baik. Yang paling utama, saya mahu mereka tahu yang
Ibu mereka sangat sayangkan mereka-sepenuh jiwa. Tidak mahu mereka mengulangi kesilapan yang
Ibu mereka pernah hadapi.
Saya
kasihankan anak-anak yang membesar dengan keperitan hidup, kekurangan
kasih-sayang, dan terpaksa berdikari dalam usia muda. Mereka membesar berdasarkan pengalaman hidup
yang mereka lalui. Sebagai Ibu, saya hanya
mahukan yang terbaik buat mereka. Tidak
mahu mereka menerima nasib seperti yang saya lalui.
Baiklah. Cukup setakat ini dahulu cerita asrama.
Jadi,
mana cerita asmaranya?
Lain
kali sahaja.
Sekian. Salam hormat.
Comments
Post a Comment