Tragedi Febuari
Salam.
Ketentuan Allah, tiada siapa boleh
menghalang.
Tanggal 1hb. Febuari 2015, anggaran masa
1630, satu musibah telah menimpa keluarga kami.
Mahligai yang telah lama kami diami
turun-temurun telah hangus dijilat api.
Kami sekeluarga ketika itu tiada di rumah
kerana melawat jiran di hospital, tiba ketika api sudah membakar semua struktur
rumah pusaka yang di bina hampir 60 tahun yang lalu.
Luluh hati melihat tiada apa harta yang
terselamat, namun bersyukur kami selamat dan terhindar dari sebarang kecederaan
akibat musibah tersebut.
Kami hanya tinggal sehelai sepinggang.
Namun, kami akur kerana rahmat Allah itu
sentiasa bersama insan yang lemah dan redha atas setiap perkara yang berlaku.
Kami mungkin kehilangan harta benda hiasan
duniawi, namun kami amat bersyukur kerana kami masih punya nyawa yang paling
berharga untuk terus hidup, beribadah, berbakti kepada semua.
Di sebalik musibah itu, Allah turunkan
seribu rahmat-Nya kepada kami.
Kami masih punya sanak-saudara yang mulia
dan tulus hatinya; jiran-taulan yang setia menghulur bantuan; sahabat-handai
yang ikhlas memberi bantuan, serta pihak berwajib yang prihatin akan keperitan
kami sekeluarga.
Bantuan, dorongan, semangat serta doa dari
mereka telah memimpin dan menupang kami untuk terus bangun dan berjalan untuk
mengharungi hari-hari mendatang.
Sokongan mereka juga telah membuatkan kami
teguh dan terus berani untuk berlari ke langit.
(zreettt…)ß
bunyi CD kena rewind secara mengejut.
Sila bayangkan.
Jangan bergurau, wahai Rafizah.
Bukan, saya tidak mahu sesiapa pun
menitiskan air mata.
Siapa yang menitis air mata?
Kamu.
Ya, betul sangatlah tu. Saya baru ingin terasa sayu.
(Senyum tanda Berjaya)
Benar.
Rahmat Allah itu amat luas dan tidak
terjangkau fikiran.
Sebulan kami menumpang di D’Kok Eco Camp,
selama itu jugalah kami tidak putus-putus dikunjungi saudara-mara, jiran
tetangga, sahabat taulan dan insan-insan yang di utus oleh Allah untuk sama
mendengar kisah duka kami.
Hampir dua bulan kami di situ, mahligai
baru kami siap dibina. Dengan izin Allah
jua, ia siap lebih awal seperti dijangka.
Tanggal April, kami sekeluarga berpindah ke mahligai baru kami.
Sekali lagi, Allah tunjukkan betapa Maha
Pengasih dan Maha Penyayang sifat-Nya.
Kami hilang segalanya, tetapi rahmat Allah
melalui tangan-tangan manusia yang mulia, kami peroleh semula apa yang
hilang-walau tidak serupa, seperti asalnya.
Syukur kami kepada-Nya tidak berbelah-bagi.
Apa yang boleh kami kongsikan di sini ialah
tentang betapa besarnya kasih-sayang Allah kepada umat-Nya. Tentang betapa perlunya kita sebagai hamba
untuk beriman hanya kepada-Nya, betapa kita perlu yakin dan percaya akan
rahmat-Nya.
Kita haruslah redha dan berserah sepenuh
jiwa dan raga kepada kekuasaan-Nya.
Yakin dan percaya sepenuhnya yang Dia tidak
akan menguji melebih apa yang kita mampu.
Yang nyata, ujian-Nya menjadikan kita lebih
kuat dan menambah keimanan kita terhadap-Nya.
Walau ada beranggapan itu adalah bala’ ke
atas kami yang lalai, atau atas perbuatan lampau, atau musibah untuk
menyedarkan kami atas dosa-dosa silam-namun, kami tetap yakin dang
bersangka-baik terhadap Pencipta kami yang Dia Maha Penyayang dan tidak akan
berlaku kejam terhadap umat-Nya.
Walau seteruk dan seburuk mana, walau
sehina mana, sebesar apa dosa dan salah umat-Nya-Dia tetap kasih dan
melimpahkah rahmat-Nya sebanyak mungkin, tidak kira siapa pun mereka.
Siapalah kita untuk menilai baik, buruk,
dosa, pahala seseorang. Siapalah kita
untuk menjatuhkan hukuman ke atas sesiapa pun.
Hanya Allah yang selayaknya kerana Dia-lah
Pencipta, Pamberi, Pengatur yang hakiki.
Sekian.
Comments
Post a Comment