Ibu Mertuaku
Saya bukan
Salmah. Suami saya bukan Kassim. Ibu mertua saya juga bukan Nyonya Mansoor.
Tapi, ibu mertua saya
bernama Kesumah.
Persamaan ibu mertua
saya dengan watak ibu mertua kejam di dalam filem hitam putih tersebut? Tiada.
Yang paling banyak
ialah perbezaan. Umpama Ying dan Yang.
Perbezaan paling
ketara ialah, Nyonya Mansoor mempunyai seorang sahaja anak perempuan manakala
ibu mertua saya mempunyai 12 orang anak.
Baiklah, sangat berbeza bukan?
Itu baru satu yang
saya tuliskan di sini. Belum dikira
lain-lain aspek lagi. Memang amat ketara
perbezaannya.
Apa motif saya
menulis tentang ibu mertua? Motifnya
hanya satu.
Rindu.
Segalanya terasa amat
rindu-rindukan suaranya, masakannya, nasihatnya.
Hanya saya menantunya
yang berada sangat jauh di mata. Hanya
suami saya yang berada jauh dari jangkauan tangannya. Hanya anak-anak saya; cucunya yang masih
tidak dapat dibelainya.
Perkara yang paling
pertama buat saya tertarik tentang mama saya ialah dia seorang yang amat
penyabar.
Ketika kali pertama
saya bersua dengannya, saya pulang bersama suami yang sudah 10 tahun (diulang,
SEPULUH TAHUN) tidak menjejakkan kaki di tempat kelahirannya itu. Tidak mahu menghuraikan sebab-musabab kenapa
perkara itu terjadi-sepatutnya mama akan sekurang-kurangnya berleter hingga ke
pagi; tetapi itu tidak berlaku. Mama hanya
tenang bersalam dengan saya dan anak lelakinya itu. Tiada langsung riak marah atau benci
terpancar dari raut wajahnya ketika itu.
Saya juga merasa amat tenang setelah beberapa jam berfikir, risaukan tentang
penerimaan keluarga mereka terhadap saya-menantu dari Semenanjung (dari Negeri
Sembilan pulak tu).
Mama berniaga
kecil-kecilan menjual mi sup (memang terkenal di kampung itu) di hadapan
rumah. Semangkuk cuma RM0.50 hingga
RM1.00, dan Mama berjual hingga malam. Amat
gigih sekali Mama di mata saya ketika itu.
Di samping menguruskan kedai, Mama juga menjaga beberapa orang cucu yang
baru kematian ayah ketika itu. Namun,
tidak pula saya lihat Mama merungut. Hingga
sekarang, Mama masih mengasuh cucu-cucunya sehigga besar panjang. Cuma sekarang Mama sudah tidak berjual lagi
memandangkan semua anak-anaknya sibuk hendak kerja makan gaji.
Yang paling tidak
dapat saya gambarkan kesabarannya ialah sepanjang lima tahun perkahwinan kami
dan dikurniakan dua orang anak-kami masih belum pulang ke sana. Beberapa kali undangan di ucapkan, namun tidak
dapat kami tunaikan. Tidak pula Mama
kesalkan. Hanya bertanya khabar melalui
telefon sudah memadai baginya. Apatah lagi
apabila anak sulung saya Si Haya sudah pandai di ajak berbual di
telefon-semakin girang suara Mama kedengaran oleh saya. Lancar sahaja mulutnya bercerita tentang
aktiviti cucu-cucunya di sana. Memancing
di laut, berjalan di pantai, makan buah pelam di bawah rumah, macam-macam
lagi. Haya dan Israq juga sudah biasa
dan faham dialek Neneknya. Kalau dahulu,
terpinga-pinga Si Haya sambil memegang telefon di telinga dan bertanyakan saya:
“ Nenek cakap apa tu Ibu?”. Namun sekarang
tidak lagi. Haya sangat cepat belajar
sesuatu perkara. Begitu juga Israq. Mereka mudah mengingati perkara dan
peristiwa.
Momen paling berharga
untuk saya ingati tentang anak-anak dan Neneknya.
Kerinduan kami kepada
semua yang berada di sana terasa semakin berat dan menebal. Hanya menunggu masa dan ketikanya sahaja,
dengan izin Allah s.w.t-kami pasti akan pulang.
Mama, adik-adik, anak-anak buah-kami amat rindukan kamu semua.
Mama, kami mahu
pulang. Doakan kami agar dipermudahkan.
Comments
Post a Comment