Cik Siti Jinbara (Maaf, saya tukarkan ia)

Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat.

Jarang sekali saya menonton drama tempatan yang berkisarkan mitos Melayu sejak kebelakangan ini di kaca televisyen tempatan  Sementelah hanya garapan cerita Melayu moden dan bersifat fantasi hasil adaptasi dari novel cinta yang melambung ke awan masih mendominasi kebanyakan slot drama di syarikat penyiaran di negara ini.

Terpanggil untuk menonton tele movie di malam minggu lepas kerana pelakon utamanya adalah Izara Aishah; juga amat jarang saya lihat lakonannya di kaca televisyen, membuka fikiran saya tentang kewujudan kisah Cik Siti J****g yang di khabarkan mempunyai 99 orang suami.

Berdasarkan drama tersebut, Siti di gambarkan sebagai seorang gadis desa yang cantik rupawan dan di cemburui kecantikannya oleh ramai orang.  Di pelihara oleh orang kaya dan bangsawan, di khabarkan mempunyai harta separuh dari kampungnya tersebut.

Siti menemui Nenek Kebayan yang tinggal di hutan untuk merawat wajahnya yang hodoh (saya tidak berpeluang menonton dari awal kenapa wajahnya jadi begitu) dan di situlah Siti belajar pelbagai ilmu mempertahankan diri serta merawat wajahnya dengan bersyarat oleh Nenek Kebayan.
  
Setelah setuju dengan syarat yang di beri oleh Nenek Kebayan, Siti pulang ke kampung halamannya dan hidup dengan aman sehinggalah dari hari ke hari, dia menjadi sombong akan kecantikan yang dimilikinya itu.  

Kerana kesombongannya itu jugalah Siti telah melanggar janji yang di buat dengan Nenek Kebayan, serta telah menyebabkan ibunya berkecil hati, kecewa serta sedih, sehingga mengakibatkan ibunya meninggal dunia.

Maka, bermulalah kisah Siti yang menyedihkan apabila setiap kali dia berkahwin, suaminya akan meninggal secara tiba-tiba akibat di sengat binatang berbisa, di malam perkahwinannya.  Sepanjang itu jugalah Siti di fitnah dengan pelbagai andaian sehinggalah ke perkahwinannya yang ke 100, yang di khabarkan suaminya yang berjaya menangkis sumpahan ke atas Siti yang ketika itu berumur 48 tahun.  Bakal suaminya itu terlebih dahulu mengajarnya mengaji dan solat dan warak orangnya.

Baiklah.  Saya tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai mitos tersebut.
(Oh, nampaknya memang sudah panjang lebar!) ;p

Sebagai seorang ibu tinggal, saya faham akan perasaan yang di alami oleh Siti.  Menjadi seorang balu atau ibu tinggal bukan satu permintaan bagi insan bergelar isteri yang normal.  Bebanan serta tanggungan membawa gelaran itu cukup memadai peritnya, apatah lagi untuk menjalani hidup seharian yang menuntut pelbagai tanggungjawab.  

Saya telah lihat dan kenal ramai wanita, ibu yang memegang status ibu tunggal atau ibu tinggal sebelum dan selepas saya mendirikan rumah tangga.  Mereka bekerja keras bagi memastikan hidup mereka serta anak-anak terjaga dan terbela.  Juga bertungkus-lumus menangkis segala tohmahan, cakapan yang berbaur negatif serta kecaman dari masyarakat yang tidak peka dan tidak senang akan golongan ini.

Mereka juga bergelut dan bermati-matian menuntut hak daripada pihak yang sepatutnya, demi mempertahankan dan memastikan apa yang termaktub di dalam undang-undang agama di negara ini berpihak kepada mereka.  Tidak terkira berapa kerap tangga mahkamah di daki.  Tidak terhitung dengan segala perbelanjaan yang terpaksa ditanggung walau yang dituntut belum pasti akan di perolehi.

Namun, kadangnya juga, pihak yang dituntut masih memekakkan telinga, membutakan mata, memberatkan tulang untuk melunaskan tanggung jawab yang sepatutnya di galas oleh bahu yang tegap, sasa, pagan dan berkudrat mega.  Walau sudah bertahun mengulangi tuntutan, masih tidak berpihak kepada si ibu tinggal ini; mereka tidak betah mengalah.

Mengikut logik pertimbangan akal, mereka perlu kepada sumber pendapatan bagi menyara kehidupan seharian.
Mereka perlu sokongan setiap pihak bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Mereka perlukan kasih sayang keluarga.
Mereka perlukan insan yang positif dalam hidup mereka.
Yang paling utama, mereka perlukan perlindungan Allah s.w.t. SELAMANYA.

Berbanding dengan mereka yang sudah lama menjadi ibu tinggal serta ibu tunggal, saya masih mentah dalam mengharungi liku-liku dalam menjalani kehidupan seharian saya, anak-anak dan keluarga.
Saya beruntung kerana mempunyai ayah dan emak, anak-anak, saudara-mara serta sahabat yang sangat membantu, seterusnya menghilangkan rasa tidak senang dan tidak selesa saya sebagai seorang ibu tinggal.  Mungkin sudah terbiasa berdikari sendiri sejak muda membuatkan saya tidak terbeban dan boleh berkompromi dengan emosi yang negatif.  Kesibukan dalam tugas harian juga membuatkan saya tidak punyai masa untuk terlalu memikirkan tentang hal tersebut dengan lebih mendalam (sangat!).

Keutamaan saya kepada anak-anak dan keluarga menjadi tunjang emosi dan semangat saya selama ini.  Tiada masa untuk memikirkan hal yang remeh walaupun saya sering juga di asak dengan pelbagai soalan dan khabar yang tidak menyenangkan telinga untuk mendengar.  Saya hanya bergantung harap dan pedoman dari-Nya.

Berbalik kepada pandangan saya kepada Cik Siti, yang mungkin juga di alami oleh kebanyakan golongan sepertinya ialah komunikasi dengan masyarakat.  Saya hanya berpendapat bahawa mereka hanya ingin di pandang elok dan disenangi oleh masyarakat.  Cuba untuk bermesra dengan semua orang.  Tetapi, pandangan orang yang sering tidak senang dengan golongan ini dan menganggap mereka ingin merampas apa yang menjadi hak orang lain adalah sangat kerap dan lazimnya berlaku di dalam masyarakat kita.

Maka, wujudlah golongan seperti Mawar dan MakCik-MakCik yang suka mengadu domba dan bergossip serta Encik Suami-Encik Suami yang telah tersilap anggap kemesraan yang di pamerkan oleh Cik Siti tersebut.

Cik Siti suka berhias dan berwangi kerana dia punya masa lapang yang banyak dan mampu kerana ditinggalkan harta yang melimpah.
Cik Siti suka menyapa dengan senyuman kerana dia perlu bergaul dengan orang kerana hidup sebatang kara. (Tak kan nak bercakap dengan ayam, itik, lembu, kambing; atau kucing pula?)

Mujur juga Cik Siti tidak bekerja sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan seperti saya yang kebanyakan masa kerja adalah berjumpa dengan pelanggan sahaja!

Kalaulah saya tidak berpakaian kemas, berwangi bunga, bergincu merah dan bermasam muka sahaja; apakah pandangan orang terhadap saya?
Sudah tentu saya di tendang keluar oleh majikan kerana selekeh dan berbau ikan, ayam dan cencaluk!
Sudah tentu pelanggan beranggapan bahawa saya adalah penjual ikan di pasar basah-yang tersesat menjual alatan makmal di organisasi mereka!

Oh, sedihnya!

Mujur juga, selain dari keluarga, orang-orang kampung saya yang hipster (hihihi) serta hanya segelintir sahabat sahaja yang tahu akan status saya-sentiasa positif dan berfikiran terbuka, serta tidak banyak soksek.  Kalau tidak..

Oh, apa pun tak boleh!

Baiklah Cik Siti.  Saya mungkin tidak sehebat anda yang mampu berkahwin sebanyak 99 kali.  Juga tidak kuasa untuk mencari pengganti sehingga 99 orang.  Walau bekas suami saya tidak mati mengejut akibat disengat binatang berbisa (I hope so! kahkahkah), saya bersimpati dengan anda.  Juga kagum dengan anda yang tabah menghadapi cabaran dan dugaan hidup sebagai ibu tinggal.

Cuma, usahlah di gelar Cik Siti sebagai 'J****g'.  Pedih sekali mendengarnya.
(Sentap Mak)

Maka, saya sahaja yang menggelarkannya Cik Siti JinBara, kerana:
* dia dipengaruhi oleh jin dan syaitan
* sehingga mampu mengeluarkan lipan bara dari badannya untuk membunuh orang

Adil, bukan?
(serta tidak kedengaran kejam Nauzubillah)


Sekian. Hingga ketemu lagi.







Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress