Disember 2016

Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat.


Disember.
Begitu cepat masa berlalu.  Datangnya juga tidak disedari.
(Adakah selama ini saya berhibernasi?) Hahaha.

Disember hanyalah pengakhiran bulan dalam takwim Masehi.  Namun, ia saya anggap bukanlah bulan yang harus di isi dengan acara-acara santai memandangkan di bulan inilah saya dan pasukan kerja akan bertungkus-lumus menghabiskan wang peruntukan kerajaan demi mengisi kantung kewangan syarikat.  Hahaha.

Begitu banyak perancangan yang telah dan sedang saya laksanakan untuk tahun akan datang.  Semangat juga seakan segar di siram hujan lebat bulan Disember.

Perancangan untuk diri, anak-anak (yang paling mengujakan), keluarga dan syarikat; seolah tidak cukup dua belas bulan yang sedia ada.  
Bolehkah saya memandai-mandai mencipta nama bulan yang baru, jadi nanti nama saya akan tercetak dalam buku-buku tawarikh sebagai perempuan yang tidak logik mencipta dan merubah ketetapan kebiasaan? Hahahaha.

Baiklah.  Berhenti mengarut.  (Kalau kamu tidak mahu di kecam!) Hahaha.
Alah, pengikut pun tak cukup kira dua tangan, jangan hendak berangan mahu di kecam.  Dipuji juga jauh dari pemanggang!  Kahkahkah.

Baiklah.  Disember ditandakan sebagai cuti persekolahan di Malaysia.  Cuti bermakna, banyak aktiviti kemasyarakatan dan kekeluargaan berlaku seperti:

1. Kenduri kendara
Kenduri kahwin, kenduri khatam Al-Quran, kenduri berkhatan, kenduri bercukur jambul bayi, kenduri kesyukuran, kenduri arwah, kenduri doa selamat, kenduri meraikan anak-anak berjaya ke sekolah berasrama, luar negara, cemerlang dalam peperiksaan dan sebagainya.
Ini paling lazim berlaku sehingga sehari terdapat sekurang-kurangnya 3 jemputan yang perlu dipenuhi.

2. Percutian Keluarga dan Syarikat
Ini juga aktiviti yang sering di lakukan ketika bulan Disember di mana ibubapa mengambil kesempatan cuti sekolah untuk menghabiskan baki cuti tahunan (juga menghabiskan wang bonus) untuk membawa anak-anak bercuti mengikut kemampuan.  Bagi yang mempunyai kemampuan yang maha berlebihan, negara-negara Eropah merupakan destinasi yang berbaloi untuk di kunjungi.  Dengan kemudahan yang begitu canggih dan gaya hidup yang mudah, menggalakkan lagi peningkatan langganan tiket penerbangan ke luar negara, begitu juga dengan kepadatan kunjungan rakyat jelata ke kaunter Imigresen dan kaunter pengendali pelancongan.

Namun begitu, tidak kurang juga pusat-pusat pelancongan yang menarik dalam negara; masih mampu untuk dikunjungi oleh rakyat dan amat mudah untuk di akses. (Seperti mahu akses laman sesawang pula.  Hahaha)

Memandangkan anak-anak saya masih kecil dan masih belum faham akan budaya lain di negara luar, saya memilih untuk menerapkan nilai-nilai kekeluargaan dan bangsa kepada mereka.
Jadi, Disember tahun ini saya ingin membuka minda anak-anak saya berkenaan bangsanya sendiri iaitu Melayu Yang Agung.
Eh, bukan.  Saya tidak mahu membawa mereka ke Persidangan Agong UMNO, bukan! Hahaha.  Saya hanya ingin membawa mereka mengenali budaya Melayu serta asal-usul bangsa mereka seperti adab sopan, kekayaan budaya dan bahasa serta elemen-elemen yang berkaitan dengan bangsa.
(Wah, engkau ingat engkau ini ahli sejarah atau tokoh bangsa?) Hahaha.

Tidak perlu mempunyai pengetahuan yang maha mendalam dalam sejarah dan sebagainya.
Adab sopan bangsa Melayu sudah lama terpupuk dalam amalan keluarga kami sejak kecil.  Menghormati orang tua, berbahasa dengan baik, berperilaku sopan dan sebagainya sudah sebati dalam amalan hidup kami.  Cuma yang perlu di lakukan ialah menjadikan ia kebiasaan kepada anak-anak saya.  Saya mahu mereka lakukan perkara-perkara tersebut tanpa menunggu arahan daripada saya.

Indah bukan jika kita melihat anak-anak kecil membongkokkan badan dan berkata "Tumpang lalu Atuk.." ketika lalu di hadapan orang yang lebih dewasa daripada mereka?

Tersentuh bukan jika mendengar mereka mempelawa orang yang lebih tua untuk makan dahulu makanan di tangan kecil mereka?

Kelihatan manis bukan jika melihat mereka bersalaman sambil mencium tangan orang yang lebih tua dari mereka?

Aktiviti seperti ini tidak mahal dan tidak memerlukan peruntukan dan belanja yang besar tetapi natijah yang kita dapat daripada perlakuan begitulah yang membuatkan ia mahal di mata masyarakat.
Perkara seperti inilah yang ingin saya terapkan dalam jiwa anak-anak saya-tidak kira dalam bulan apa sekalipun.  Cuma, saya ingin mengambil kesempatan sempena cuti persekolahan ini untuk membuatkan mereka lebih kenal akan jati diri dan nilai diri mereka.

Setelah lebih kurang sepuluh bulan mereka di didik oleh guru, biarlah Disember ini mereka di ajar oleh tangan ibu mereka sendiri.  Dengan sepenuh perhatian dan jiwa.

Disember setiap tahun menjanjikan mereka pembelajaran yang berlainan oleh ibu mereka, In Shaa Allah-mengikut tahap penerimaan dan umur mereka.  Saya bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang terang hatinya serta mudah dibentuk.  Diharapkan agar sikap ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat mereka.

Ini sahaja pelaburan saya untuk alam Akhirat kelak.
Untuk mendapatkan buah yang baik, pohonnya haruslah dijaga, dibaja, disiram dengan sempurna.
Untuk mendapatkan struktur bangunan yang teguh dan utuh, komponen-komponen dan bahan binaanya haruslah solid dan menepati spesifikasi; di samping pelan yang teratur dan sempurna mengikut fungsinya.

Harus kita percaya-KLCC tidak terbina sehari dua.

Sabar dan istiqamah harus seiring dengan usaha.

(Semakin pendek ayat-hilang punca, kehabisan ide) Kahkahkah

Baiklah.  Cukup sudah bicara, takut Disember berakhir pula!


Sekian, dan ketemu lagi.


Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress