Silaturrahim
Assalamualaikum w.b.t
dan salam hormat.
Tanggal 7hb. Disember
2016, saya telahpun ‘sah’ membebaskan diri daripada rantaian di hati, jiwa dan
diri.
Syukur. Setelah sekian lama saya menahan dan bersabar
dengan ujian tersebut, maka inilah pengakhiran kisahnya setelah bertahun juga
saya memendam dan merendam kepayahan hidup berumahtangga.
Sejujurnya, saya
tidak menyangka yang saya akan berumahtangga dan mempunyai zuriat seperti hari
ini. Saya juga tidak menduga ujian
tertumpah ke atas mahligai ini dan berakhir dalam tempoh yang agak singkat.
Tidak mahu mengulas
di mana kekurangan dan kepincangannya; saya hanya redha dengan jalan cerita
hidup yang telah tersurat sejak di Azali.
Mungkin ramai yang
telah maklum tentang babak-babak dalam kehidupan saya selama ini. Mungkin ramai juga yang memuntahkan pelbagai
pandangan, curahan hati, dan tidak kurang juga yang mendoakan kebaikan dan
menitipkan semangat kepada diri supaya lebih tabah dan bertahan dengan kasih
sayang Allah demi orang-orang yang tersayang.
Sejujurnya juga, saya
tidak rasa terbeban dengan status semasa saya.
Mungkin kerana sudah biasa memekakkan telinga, membutakan mata dan
menebalkan muka-berhadapan dengan masyarakat yang berbilang warna emosi dan
kerenah. Juga tidak mahu menyimpan
perasaan negatif kepada yang memuntahkan aura merah ke dalam hati saya. Saya hanya mahu kekal senyum dan bersangka
baik kepada semua, waima dengan yang berpihak kepada lawan saya.
Saya tidak mahu
bermusuh.
Saya juga tidak mahu
memutuskan silaturrahim antara manusia.
Sewajarnya perpisahan
ini melibatkan banyak pihak dan menjemput marah dan benci yang berlarutan-saya
masih berpegang kepada toleransi dan rasa kemanusiaan yang sudah lama saya
terapkan dalam jiwa saya.
Kita hidup tidak
lama.
Kita juga tidak tahu
bagaimana masa hadapan akan menyebelahi kita, adakah ia akan berdamping dengan
baik atau sebaliknya. Mungkin hari ini
kita kaya dengan saudara, sahabat handai taulan, jiran yang baik dan membantu
dalam segala hal. Tetapi kita tidak
tahu, adakah keadaan ini akan berlarutan sehingga akhir hayat kita.
Saya hanya risaukan
anak-anak saya. Mereka masih rebung dan
amat memerlukan banyak sokongan dari pelbagai sudut.
Dalam usia hijau ini,
mereka sudah kekurangan sesuatu yang penting dalam kehidupan. Bila terkenang dan memikirkan hal itu jugalah
saya banyak kali menangguhkan perpisahan ini.
Saya masih berharap agar pihak di sebelah akan berubah dan kembali ke
landasan yang benar.
Malangnya, itu semua
tidak berlaku. Kesabaran saya juga telah
tiba ke garis had yang merbahaya. Gelung
kompromi saya sudah mengendur dan hampir putus.
Lelah saya juga telah tiba ke kemuncak dan akan menyempitkan ruang
pernafasan, justeru memecahkan pembuluh ketabahan. Atmosfera di sekeliling saya juga semakin
menyesakkan dan memaksa saya mengambil keputusan yang pasti akan menghentam
dada dan memercikkan darah yang membuak serta memualkan.
Namun.
Saya harus akur
kerana barah itu sudah lama bersarang dalam perumahnya. Sudah sampai ke tahap 4. Tiada ubat yang
boleh menyembuhkannya lagi.
Sungguhpun begitu,
saya hanyalah manusia biasa yang banyak kelemahan dan kekurangan dalam
diri. Selamanya saya akan terus belajar
dalam mempersiapkan diri sebelum menghadap-Nya.
Jika anak-anak ibu
yang di kasihi membaca coretan ini nanti, ibu hanya mahu kamu tahu yang ibu
tidak pernah mahu memutuskan silaturrahim kamu dengan pihak di sebelah
sana.
Kamu tetap darah
daging mereka. Kamu masih mempunyai
keluarga di sana.
Sungguhpun kamu
membesar bersama keluarga ibu di sini, yang mengasihi kamu di sini, yang
sentiasa di sisi ketika susah senang kamu; ibu mahu kamu tahu yang mereka di
sana juga menyayangi kamu sungguhpun mereka tidak pernah bersua muka dengan
kamu.
Ibu tidak pernah
mengajar kamu berdua membenci sesiapa pun di dunia ini. Kebencian tidak harus ada dalam kamus hidup
kamu yang masih putih. Ibu juga mahu
kamu berdua hidup dalam kasih sayang, bukan kebencian. Ibu mahu kamu menyulam rasa rendah diri dan
berserah segalanya kepada Yang Esa, dalam apa jua keadaan-sukar dan senang.
Jika umur ibu masih
ada, kamu tanyakanlah akan ceritanya-nescaya akan ibu khabarkan apa yang telah
ibu lalui.
Tentang kasih sayang
keluarga.
Tentang kebencian dan
dendam yang meratah jasad.
Tentang keinsafan.
Tentang kejahilan.
Tentang segalanya.
Jadikanlah ia panduan
hidup kamu untuk menempah syurga Allah yang kekal abadi.
Kita tidak selamanya
betul. Orang lain juga tidak selamanya
salah.
Gunakan taakulan hati
berdasarkan aturan qalbu yang bersih, nescaya kamu akan di bimbing oleh Allah
s.w.t. selamanya.
Comments
Post a Comment