Mendidik hati

Entri tertangguh-tangguh
Assalamualaikum w.b.t dan salam hormat. 
Ketika membuat pemeriksaan rutin di klinik berhampiran bulan lepas, saya terpanggil untuk memikirkan perkara yang pernah Ayah katakan kepada saya dan suami beberapa bulan lalu.  Kagum dengan kebolehan semulajadi Ayah untuk mengaitkan sesuatu perkara dengan keadaan semasa juga membuatkan saya bersyukur kerana dilahirkan serta dididik oleh insan-insan yang amat berkebolehan dan istimewa seperti Emak dan Ayah.      Berdasarkan itulah juga, keresahan serta kerisauan seorang ibu berbangsa Cina berkenaan kandungannya menarik perhatian saya.  Tidak putus-putus dia bertanyakan kepada sesiapa sahaja yang duduk di sebelahnya berkenaan kandungan masing-masing.  Kebetulan ketika itu saya duduk di sebelahnya dan sudi melayan perbualannya dikeriuhan suasana di klinik tersebut. Memandangkan ini adalah pengalaman pertama saya mengandung, banyak juga soalan yang saya ajukan padanya yang kali kedua melalui pengalaman mengandung.    Sebagai seorang umat Islam, kita amat dituntut untuk mensyukuri setiap perkara yang berlaku dalam hidup.  Bermula seawal Subuh dengan memanjatkan kesyukuran kerana masih diberi peluang untuk bernafas, sehinggalah ke hujung hari dengan dikurniakan nikmat tidur yang menenangkan.  Begitulah rutin kita setiap hari.  Dilimpahi rahmat-Nya yang tidak kunjung padam.  Dihati terdetik perasaan yang amat indah apabila masih mampu melafazkan kesyukuran ke hadrat-Nya.Melalui pengalaman menjadi bakal seorang ibu membuatkan saya berfikir tentang realiti kehidupan kita sebagai seorang manusia yang diharap dapat menjadi seorang khalifah di muka bumi Allah ini.  Bermula dari kejadian janin sehinggalah ke usia tua kita, wajar diperhatikan serta dihayati akan pengajarannya serta seharusnya menginsafi akan kebesaran Allah s.w.t.  Begitu jugalah yang cuba saya perhatikan dan hayati kerana tidak mudah untuk mengalami dan menempuh pengalaman seperti ini.  Adakalanya kita sedar, dan ada juga ketika kita terleka.  Menyedari tentang jerih payah seorang ibu menjaga kita dari bayi hingga kita dewasa, seolah-olah sebuah tanggungjawab yang tidak pernah selesai.  Bermula dari seketul daging di dalam rahim, sehinggalah anak dewasa dan mungkin juga hingga bercucu cicit.  Tidak hanya terhenti apabila anak sudah baligh atau mendirikan syurga mereka sendiri, kerana tugas mendidik yang dipikul ibu dan ayah akan berterusan hingga bila-bila.  Tugas mendidik itu tidak pernah selesai. Ayah berpesan kepada kami, tugas mendidik anak-anak era ini lebih mencabar.  Situasi dan persekitaran sudah jauh berbeza.  Jika kita sering diingatkan untuk sentiasa bersikap baik ketika mengandungkan zuriat agar kelak ia akan berkembang menjadi insan yang baik dan soleh/solehah-kita juga tidak harus lupa bahawa ada 'seketul daging' di dalam ketulan daging itu yang harus kita titik-beratkan.  Ini adalah kerana ketulan daging itu yang dinamakan 'hati' merupakan organ yang selalu disebut di dalam rujukan mulia Al-Quran untuk sentiasa dijaga dan dipelihara.  Adalah sesuatu yang sukar untuk memastikan hati kita bersifat baik.  Ini kerana (pada pandangan saya), hati sentiasa dipengaruhi oleh pelbagai aspek dan perkara.  Teringat pada sebuah lirik lagu yang mengaitkan antara pandangan hati dengan pandangan mata, nafsu dan akal.  Sesetengah orang berpendapat bahawa pandangan akal adalah yang terbaik kerana ia dibuat setelah berfikir dan menaakul dengan logik dan bersesuaian dengan situasi.  Ini jugalah yang kita praktikkan dalam kehidupan seharian.  Berfikir sebelum berkata-kata, berfikir sebelum bertindak dan sebagainya.  Pada pandangan saya juga, pandangan akal adalah bersifat sementara.  Ia juga dipengaruhi oleh pelbagai aspek dan faktor-faktor sekeliling dan boleh berubah mengikut keadaan setelah berulang kali ditafsir dan dikaji.  Walau bagaimanapun, pandangan mata juga harus dititik beratkan kerana bermula dengan pandangan matalah akan bermula segalanya.  Ia juga akan berkait rapat dengan hati, akal dan nafsu.Namun, berbeza dengan pandangan hati.  Jika ia dijaga dan dipupuk dengan Nur Allah s.w.t, ia akan selalu mendahului kepentingan kepada Yang Maha Esa dalam setiap aspek.  Menjadi kewajipan kita untuk memelihara hati kerana dari situlah akan terlahirnya sifat-sifat mulia yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana bahagian dalam struktur tubuh manusia.  Adalah tidak layak untuk saya membicarakan soal hati dengan lebih mendalam memandangkan ilmu pengetahuan yang masih cetek dalam bidang agama Allah s.w.t.  Namun, sebagai seorang hamba-Nya, saya cuba untuk mendalami aspek ini dengan cara saya sendiri berdasarkan panduan dan bimbingan orang-orang yang layak dan berpengetahuan tinggi dalam bidang ini.  Antara yang paling terdekat adalah Ayah yang saya kira amat berkesan menembusi hati saya apabila memberi nasihat dan tunjuk ajar.Antara sifat-sifat hati yang bersih adalah:1. Bersyukur dan sentiasa berterima kasih di atas nikmat Allah s.w.t2. Sentiasa bersangka baik atas setiap kurniaan dan ujian3. Merendah diri dan bersyukur atas nikmat dan redha dengan ujian4. Tidak mensyirikkan Allah s.w.tNampak mudah, bukan?  Namun, melaksanakannya adalah sesuatu yang sering kita lupakan.  Kita sering mengambil mudah tiap perkara yang mudah.  Kenapa saya katakan ia mudah untuk dilaksanakan tetapi sering kita abaikan?  Sila lihat perkara di bawah.Cara-cara membersihkan hati: 1. Melakukan suruhan Allah s.w.t dan Rasul serta meninggalkan segala larangan 2. Tingkatkan amalan dengan solat dan berdoa 3. Banyakkan berselawat dan membaca Al-Quran 4. Berpuasa 5. Mengingati mati 6. Muhasabah diri dan bersifat pemaaf
 Tepuk dada, tanyalah hati.  Untuk peringatan diri sendiri juga.
 Sekian dan salam muhibbah.

Comments

Popular posts from this blog

D'Kok Eco Camp

Hello 2017!

Pohon Pine Cypress